- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Tetapkan Misi Juarai SUKUM Kali Ke-9
Arau, 3 Ogos - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menetapkan misi untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ke sembilan berturut-turut pada Kejohanan Sukan Universiti-universiti Malaysia (SUKUM) ke-41 yang akan berlangsung pada 6 hingga 13 Ogos 2016 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, UniMAP mensasarkan untuk meraih lebih dari tujuh pingat emas mengatasi jumlah kutipan enam emas pada tahun lalu.
“Misi kita ini adalah untuk terus mengekalkan gelaran juara seperti edisi tahun lalu dan pada tahun ini kita mensasarkan tujuh emas, lima perak dan sembilan gangsa.
“Antara acara yang disasarkan menjadi penyumbang emas, Bola Sepak Senior, Tenpin Boling Lelaki dan Wanita, Boling Padang Lelaki, Olahraga Lelaki dan Wanita serta acara Basikal,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Naib Canselor kepada Kontinjen SUKUM UniMAP di Dewan Serbaguna, Kampus UniMAP Kubang Gajah, di sini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan merangkap Ketua Kontinjen SUKUM UniMAP dan Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Suhizaz Sudin.
Katanya lagi, beliau yakin, atlet-atlet UniMAP mampu melakukan kejutan untuk meraih lebih banyak pingat pada kejohanan kali ini.
UniMAP menghantar seramai 374 atlet dan pegawai untuk menyertai 22 acara iaitu Badminton Campuran, Basikal (Lelaki), Bola Sepak (Senior dan Veteran), Bola Tampar (Lelaki), Bola Tampar (Wanita), Boling Padang (Lelaki dan Wanita), Bola Jaring (Senior), Dart (Campuran),Catur (Lelaki dan Wanita), Futsal (Lelaki dan Wanita), Olahraga (Lelaki dan Lelaki Veteran), Olahraga (Wanita dan Wanita Veteran),Sepak Takraw (Berpasukan), Tenis, Tenpin Boling (Lelaki dan Wanita) dan Ping Pong.
Untuk rekod, pada tahun lalu, UniMAP muncul juara keseluruhan pada SUKUM ke-40 yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kutipan pingat enam emas, empat perak dan dua gangsa.