- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Adi sasar emas Sukan SEA 2017
ATLET lontar peluru negara, Adi Aliffudin Hussin melancarkan misi mencipta sejarah untuk meraih pingat emas pertama Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun hadapan.
Jaguh berusia 28 tahun itu mengakui sudah tiba masa untuk memberi fokus terhadap misi meraih kalungan pingat emas sahaja selepas sekadar mengutip tiga perak serta satu gangsa sepanjang lima kali penglibatan dalam temasya sukan dwitahunan Asia Tenggara tersebut.
Meskipun sentiasa berwaspada terhadap ancaman jagoan Thailand, Adi kekal optimis untuk mampu mengatasi cabaran daripada atlet negara jiran tersebut kerana pernah menewaskan Thawat Khachin semasa meraih pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2016 di Singapura baru-baru ini.
“Bukan cuma berharap atau setakat yakin, tapi saya memang betul-betul mahu menang emas Sukan SEA nanti.
“Sukan SEA tahun depan akan diadakan di Malaysia. Inilah peluang terbaik untuk mencipta sejarah dan mengharumkan nama negara sepanjang 13 tahun saya bergelar atlet kebangsaan.
“Pencabar terkuat saya selama ini dari Thailand. Tapi keyakinan saya meningkat selepas mengalahkan Thailand di AUG Singapura,” ujarnya selepas memenangi pingat emas pada temasya Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) di Nilai, Negeri Sembilan semalam.
Atlet yang mewakili Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu melakukan lontaran 15.56 meter (m) ketika menewaskan peserta Universiti Teknologi Malaysia, Muhd. Khairul Hafidzin Abdul Wahad yang dikalungkan pingat perak dengan catatan 12.33m.
Saingan akhir acara lontar peluru di Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut menyaksikan bekas atlet kebangsaan, Muhammad Malik Ahmad Tobias yang mewakili Universiti Putra Malaysia meraih pingat gangsa selepas mencatat lontaran 14.87m.
Mengulas lanjut, Adi yang kini berada di bawah program Kita Juara kendalian Majlis Sukan Negara akan berlepas ke Jerman sejurus selepas menyertai kejohanan olahraga Terbuka Malaysia pada September ini.
“Saya tak letak apa-apa sasaran untuk Terbuka Malaysia kerana fokus saya memang untuk Sukan SEA 2017,” katanya.-KOSMO!