A+ A A-

GESC 2016 : Bengkel Business Start-Up Simulation Dedah Perancangan Perniagaan Sebenar Kepada Peserta

Sungai Chuchuh, 13 Ogos – Peserta Global Entrepneurship Summer Camp (GESC) 2016 didedahkan dengan perancangan memulakan perniagaan di hari ketujuh kem itu berlangsung.

Bengkel ‘Business Start-up Simulation’ yang membabitkan kesemua peserta dikendalikan oleh Pusat Pengajian Perniagaan Inovasi dan Teknousahawan (PPIPT) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diketuai pensyarah kanan pusat pengajian itu, Dr Tunku Salha Tunku Ahmad.

Menurut Tunku Salha, bengkel yang diadakan sempena program GESC 2016 itu adalah langkah pertama peserta bagi merancang perniagaan yang bakal dijalankan sempena Festival Makanan pada Selasa depan.

Katanya, kesemua peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan yang akan diberi sebuah gerai setiap kumpulam bagi jualan Festival Makanan GESC itu.

“Mereka perlu berbincang  mengenai produk makanan yang akan dipasarkan di festival berkenaan sekaligus merancang strategi bagi mendapat hasil jualan yang menguntungkan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Salah seorang fasilitator bengkel berkenaan, Razif Jamaludin berkata setiap kumpulan peserta itu dilantik seorang pengasas yang perlu mengemudi perancangan perniagaan yang dipilih mereka.

Katanya ,mereka terdiri daripada 12 hingga 13 orang peserta pelbagai negara bagi membolehkan mereka berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris ketika berbincang dengan dibantu enam fasilitator.

“Seperti perniagaan sebenar, mereka juga diberi kemudahan pinjaman sebanyak RM500.00 setiap kumpulan dan jumlah itu perlu dibayar selepas perniagaan mereka selesai dengan kadar bayaran 100 peratus jumlah pinjaman itu.

“Mereka perlu menjalankan perniagaan itu dalam tempoh dua jam sahaja manakala keuntungan yang diperolehi akan diberikan kepada mereka untuk dimanfaatkan oleh mereka sendiri,”katanya.

Sementara itu, salah seorang ketua kumpulan Amar Aslam Zakaria yang juga pelajar Kejuruteraan Keusahawanan berkata bengkel ini secara tidak langsung memberi ilmu yang sangat bermanfaat kepada setiap peserta sekaligus dapat merancang mengadakan perniagaan sebenar pada masa hadapan dengan mudah.

“Kumpulan kami yang terdiri daripada sembilan pelajar UniMAP dan tiga dari Thailand merancang perniagaan menjual snek dan minuman untuk Festival Makanan minggu hadapan.

“Kami merancang menjual snek seperti ‘chicken pop’ yang sedap dan mudah disediakan di samping minuman coconut shake yang pasti menarik pelanggan untuk menikmatinya,” katanya.

GESC 2016 yang bermula pada 7 Ogos lalu menghimpunkan 103 peserta dari tiga buah negara iaitu Bangladesh, Thailand dan Malaysia dengan UniMAP sebagai tuan rumah pada penganjuran kali pertama itu.