- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Peserta GESC Lawat Pengusaha Industri Kraftangan Perlis
KUALA PERLIS, 16 Ogos – Seramai 103 peserta Global Entrepreneurship Summer Program (GESC) dibawa melawat Kompleks Kraftangan Perlis bagi mempromosikan budaya Malaysia disamping mempelajari cara syarikat tersebut diuruskan.
Pelajar Perniagaan Antarabangsa, Mahasarakham Univesity Thailand, Tanaporn Chusakul, 21, berkata, lawatan memberikan banyak pendedahan kepada beliau berkaitan pengurusan syarikat dan pemasaran.
“Lawatan ke Kompleks Kraftangan ini adalah mampu memberi pendedahan kepada saya tentang pengurusan dan pemasaran produk syarikat yang boleh dihubungkaitkan dengan program yang saya belajar di universiti.
“Di samping melihat hasil-hasil kraftangan yang dipamerkan, kami juga diberi peluang mencuba sendiri membanting batik dan membuat ukiran pada kayu,”katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu bagi pelajar program Keusahawanan, Daffodil International University Bangladesh, Md. Atikur Rahman, 22, berkata, lawatan tersebut juga memberi pendedahan dan peluang kepada pelajar untuk mencuba menghasilkan sendiri kraftangan.
“Jika sebelum ini saya hanya melihat di dalam televisyen, tetapi hari ini saya berasa sangat teruja kerana diberi peluang melawat dan mencuba sendiri mencanting batik dan membuat ukiran di kayu,” katanya.
Sepanjang lawatan itu peserta turut dibawa melawat pusat pelbagai bidang kraf seperti barangan kraf hasil logam seperti keris, parang dan pisau, kraf tekstil batik, aneka Kraf seperti rantai, gelang perhiasan diri dan capal, serta kraf hasil rimba seperti rantai kunci daripada kayu dan pelbagai lagi.
Bagi pelajar Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Ainaa Mardhiya Md Zain, 23, berkata lawatan itu merupakan pengalaman baharu buatnya.
“Hasil kraftangan bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang kita tengok di dalam kaca televisyen kerana memerlukan kemahiran. Mencuba sendiri menghasilkan kraftangan adalah pengalaman baru saya bersama pelajar-pelajar yang lain,” katanya ketika ditemui di sini.
Seramai 103 terdiri daripada tujuh orang pelajar Daffodil International University Bangladesh, 20 pelajar Mahasarakham Univesity Thailand dan 76 UniMAP, terlibat dalam lawatan tersebut.