- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Lapan Pelajar UniMAP Sertai Program Mobiliti Pelajar ke Nahda Universiti, Mesir
PAUH PUTRA, 18 Ogos Seramai lapan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpilih untuk menyertai Program Mobiliti Pelajar 2016, Nahda University, Mesir.
Naib Canselor UniMAP Dato Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, program mobiliti itu merupakan lawatan balas deligasi Nahda University pada program yang sama Ogos tahun lalu.
Saya berharap melalui program ini para pelajar dapat menimba ilmu dan pengalaman baharu untuk memajukan diri mereka.
Sebagai duta kecil UniMAP, gunakanlah peluang yang diberikan ini untuk mempromosikan universiti kita dan juga Malaysia, katanya selepas menghadiri Majlis Pelepasan Program Mobiliti Pelajar 2016, Nahda University, di sini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, UniMAP, Dato' Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainai Mohamed dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa UniMAP, Dr. Noorhafiza Muhammad.
Ujar Dato Zul Azhar lagi, semua peserta program itu akan berada di Mesir selama tiga minggu bermula 19 ogos 2016 hingga 9 september 2016.
Semua peserta ini dipilih dari dua pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Alam Sekitar dan PPK Komputer dan Perhubungan.
Program Mobiliti Pelajar 2016, Nahda University merupakan program bukan akademik non- Academic berkredit, ia bertujuan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari bidang kejuruteraan awam dan komputer dan komunikasi di universiti itu,katanya lagi.
Pelajar tahun dua, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer, Erick Hermanto Lasimin, berkata beliau akan menggunakan peluang yang diberikan untuk menimba pengalaman sepanjang berada di Mesir nanti.
Ini merupakan kali pertama saya mengikuti program seperti ini dan akan menggunakan sebaiknya kepercayaan yang diberikan pihak PPK dan UniMAP untuk mencari pengalaman dan ilmu baharu di sana nanti,katanya.
Sementara itu bagi Pelajar tahun dua Ijazah sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Syaza Nur Iylia Zulkifli berkata, beliau amat teruja kerana terpilih untuk mengikuti program terbabit.
Saya tidak menyangka terpilih untuk mengikuti program ini dan berharap agar dapat membawa pulang ilmu yang diperolehi sepanjang di sana nanti untuk berkongsi bersama rakan-rakan di sini,katanya.
Semua pelajar-pelajar ini ditaja dengan menggunakan dana mobiliti yang diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selain sumbangan daripada pusat pengajian serta pelajar sendiri.