- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
GESC 2016 : Peserta Ekspresikan ‘Greening The Earth’ Dalam Pertandingan Video
Sungai Chuchuh ,17 Ogos – Peserta Global Entrepreneurship Summer Camp (GESC) mengeksresikan penghargaan mereka terhadap tumbuhan menghijau menerusi program Greening The Earth yang diadakan pada hari kesebelas GESC 2016, di sini, hari ini.
Ketua fasilitator, Jasin Abdul Halim yang juga guru bahasa di Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata program ini bertujuan bagi memberi pendedahan kepada peserta GESC 2016 bagi menghargai alam semulajadi khususnya tumbuhan hijau.
Katanya, peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan perlu membawa perkakasan menanam pokok yang disediakan bagi penanaman pokok di kawasan taman permainan dan perhentian bas di Kampus Uniciti Alam, di sini.
“Kumpulan itu juga dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada empat peserta untuk bekerjasama menanam pokok seterusnya merakamkan video pendek bertemakan Greening The Earth, “katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurutnya, video yang dirakamkan menerusi telefon mudah alih peserta itu kemudiannya perlu dimuatnaik ke laman sosial rasmi Facebook GESC 2016 untuk dipilih.
“Video yang dimuatnaik itu perlu dipromosikan kepada awam atau rakan di laman sosial berkenaan dengan menandai (tag) rakan-rakan sekumpulan.
“Sehingga jam 5 petang ini, video yang menerima ‘like’ terbanyak dan menepati tema program hari ini akan dipilih sebagai pemenang sekaligus dijadikan video rasmi GESC 2016,” katanya.
Jasin berkata, menerusi program ini peserta GESC yang terdiri daripada pelajar tempatan, Thailand dan Bangladesh itu dapat menyampaikan mesej kepada seluruh dunia mengenai rasa cinta mereka terhadap tumbuhan hijau selepas dimuatnaik di dalam laman sosial.
“Ini menunjukkan penghargaan kepada tumbuhan hijau ini tidak terhad, malah dapat dilakukan oleh sekumpulan kecil seperti peserta-peserta GESC 2016 ini.
“Secara tidak langsung aktiviti ini dapat mendidik peserta dan masyarakat menjaga kehijauan alam tidak kira di mana mereka berada, ” katanya.
Program Greening The Earth yang dikendalikan CIL ini turut mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kampus Lestari UniMAP, UniMAP Holdings dan Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) .
GESC 2016 berlangsung sejak 7 Ogos lalu akan berakhir pada Sabtu ini menghimpunkan 103 peserta dari tiga buah negara.