A+ A A-

Kejayaan Sukum Suntik Semangat Kontinjen UniMAP Ke Karnival Masum

Pauh Putra,21 Ogos – Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) diharapkan dapat mencontohi kecemerlangan kakitangan UniMAP di Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) seminggu lalu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan berkata kejayaan kontinjen di SUKUM yang berjaya mempertahankan kejuaraan sembilan tahun berturut-turut dapat dijadikan suntikan semangat kepada kontinjen pelajar ke MASUM.

Katanya, sebelum itu juga kontinjen UniMAP berjaya meningkatkan pencapaian di Karnival Varsiti IMT-GT kali ke-18 di Thailand dengan meraih dua pingat perak dan satu gangsa berbanding karnival terdahulu tanpa meraih sebarang pingat.

“Bidang sukan ini sudah menjadi budaya di kalangan kakitangan UniMAP sejak awal penubuhannya, justeru adalah diharapkan pelajar turut menjadikan sukan sebagai budaya yang dapat mengharumkan nama universiti,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada kontinjen UniMAP di Kolej Kediaman Pauh Putra,di sini, semalam.

Karnival MASUM Fasa 1 yang dijadualkan berlangsung mulai 21 hingga 26 Ogos ini diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

UniMAP menyertai lima acara iaitu bola tampar pantai lelaki, squasy lelaki, taekwando lelaki dan wanita serta ping pong lelaki.

Seramai 60 atlet dan pegawai UniMAP menyertai karnival berkenaan.