A+ A A-

GESC 2016 : Food Festival Dedah Ilmu Keusahawan Kepada Peserta

SUNGAI CHUCHUH, 16 Ogos – Global Entrepreneurship Summer Camp (GESC) 2016 anjuran Universiti Malaysia Perlis menjadi medan bagi menggilap bakat-bakat mahasiswa untuk menjadi seorang usahawan.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, objektif utama GESC itu adalah untuk mewujudkan semangat keusahawanan di kalangan peserta.

“Dengan cara ini kita dapat memberi pendedahan kepada mereka kepada pelbagai pilihan yang mungkin, supaya mereka boleh membuat keputusan masa depan mereka sendiri dan mencipta pekerjaan  bukan menjadi pencari kerja semata-mata.

“Pendedahan awal seperti ini adalah penting kerana dapat melatih mereka untuk melaksanakan projek-projek mereka sendiri pada masa akan datang,”katanya ketika berucap merasmikan Festival Makanan dan Gerai Jualan sempena GESC 2016 di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan,Dekan Pengurusan Akademik UniMAP yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamaruddin dan Penolong Naib Canselor  Komunikasi Korporat UniMAP, Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd Zain.

Ujar beliau lagi, ilmu keusahawanan boleh diberikan dalam pelbagai cara seperti contoh, melalui lawatan-lawatan sambil belajar ke syarikat-syarikat serta ceramah dari usahawan yang berjaya.

“Selain itu juga  penyertaan dalam program-program keusahawanan serta menjalinkan kerjasama dengan usahawan yang berpengalaman juga dapat memupuk minat kepada golong belia,”katanya.

GESC 2016 disertai seramai 122 peserta dari tiga negara, Bangladesh, Thailand dan Malaysia sebagai tuan rumah. Program selama dua minggu itu berlangsung pada 7 hingga 21 ogos

Kem tersebut memberi pendedahan kepada peserta untuk merasai sendiri pengalaman mengenai ilmu perniagaan seperti contoh lawatan-lawatan ke kilang-kilang, pasar, dan pusat-pusat keusahawanan.

Ia adalah satu peluang yang terbaik untuk berhubung dengan rakan-rakan peserta dari sudut yang berlainan benua dan antara pendekatan yang digunakan dalam GESC 2016 adalah berkonsepkan mentor-mentee.