- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Sharifah Noor Sahila Syed Jamal
Program Latihan Industri Perpaduan (PLIP) siri II Bentang Peluang Kepada Bumiputera
Kangar, 22 Ogos 2016 – Peluang penempatan pelajar Bumiputera dalam perniagaan atau perindustrian yang dipelopori oleh kaum bukan Bumiputera terbentang luas melalui Program Latihan Industri Perpaduan (PLIP) yang dijalankan bagi siri kedua, kata Pengarah Bahagian Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional (JPNIN) Jabatan perdana Menteri (JPM), Suraya Wen.
Di bawah program itu, beliau katanya yakin dan lebih percaya melalui kerjasama yang bakal termeterai akan memberi peluang kepada lebih ramai pelajar terutamanya Bumiputera untuk mengikuti program ini.
“Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) menyediakan penempatan latihan industri kepada pelajar Bumiputera dari Insititusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terlibat,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Perdana Menteri (JPM); Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM); dan Persatuan Peruncit – Rantaian Malaysia (MRCA) bertempat di Auditorium, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Kampus Induk UniMAP Pauh Putra baharu-baharu ini.
Tambahnya lagi inisiatif sebegini dilihat akan mengukuhkan jalinan perpaduan antara pelajar bumiputera dengan majikan dan rakan sekerja yang bukan bumiputera bagi meningkatkan semangat perpaduan dan kerjasama erat antara kaum.
“Ini amat penting bagi mengukuhkan ikatan hubungan kaum di Negara ini untuk terus menikmati oleh generasi yang akan datang.
“Inisiatif penganjuran ini telahpun berjaya membuka ruang untuk diteruskan bagi tempoh lima tahun dengan sasaran 5000 mahasiswa bakal mengikuti program ini bermula 2016 hingga 2020 dibawah halatuju RMK-11 teras dua untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal; Presiden ACCCIM, Datuk Ter Leong Yap; Timbalan Bendahari ACCCIM, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Negara, Dato’ Tan Tian Meng; dan Timbalan Setiausaha Agung MRCA, Dato’ Bruce Lim Aun Chong.
Untuk rekod, sejak PLIP dianjurkan akhir 2014 sebanyak lapan IPT telah menandatangani MoU bersama ACCCIM dan MRCA iaitu pada 26 November 2014 melibatkan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Manakala pada 18 Mei 2016 pula melibatkan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Sepang serta yang terkini adalah UniMAP pada 20 Ogos 2016.
ACCCIM mempunyai 28 ribu sektor syarikat perniagaan pelbagai bidang yang dinaunginya manakala MRCA juga mempunyai keahlian lebih 200 buah syarikat perniagaan besar yang mempunyai 10 ribu rangkaian perniagaan yang majoritinya adalah syarikat bukan Bumiputera yang beroperasi di seluruh Negara.