A+ A A-

CEO Universiti Antarabangsa Al-Madinah Tertarik Pembangunan Uniciti ALAM

Sungai Chuchuh ,17 Ogos – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), berhasrat menjadikan Kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Uniciti Alam sebagai model pembangunan universitinya.

Hasrat Prof  Dr Syeikh Mohammad Khalifa Al-Tamimi itu disuarakan kepada mantan Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin ketika mengadakan lawatan ke kampus itu bersama pegawai khas beliau Ahmad Muhammad Khalifa Al- Tamimi, di sini, hari ini.

Menurut Syeikh Mohammad, beliau tertarik dengan pembangunan Uniciti Alam yang langsung tidak menggunakan bajet kerajaan malah dapat dibangunkan dengan cepat dan cantik menerusi kerjasama dengan syarikat swasta.

Katanya, kampus Uniciti Alam ini akan dijadikan sebagai contoh dan model terbaik dalam membangunkan MEDIU yang ditubuhkan pada penghujung 2006 itu dengan kampus utamanya di Shah Alam, Selangor.

“Saya amat berbesar hati dengan perkongsian Dr Kamarudin mengenai pembangunan UniMAP khususnya kampus Uniciti Alam ini yang difahamkan turut menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Terdahulu Syeikh Mohammad dibawa melawat Kampus Pauh Putra iaitu lawatan ke Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) sebelum melawat hub-digital UniMAP , Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) serta menyampaikan syarahan akademik di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), di sini.

Hadir sama mengiringi beliau ke lawatan itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Abdul Hamid Adom, Mufti Perlis Dato’ Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Rektor KUIPs Dr Mohd Mizan Mohamad Aslam.