A+ A A-

UniMAP Universiti Pertama Terima Pensijilan MS ISO 9001:2015

KANGAR, 19 Ogos – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar sejarah tersendiri apabila muncul universiti pertama di negara ini menerima pensijilan MS ISO 9001:2015 dari SIRIM QAS Sdn. Bhd baharu-baharu ini.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, UniMAP telah berjaya mencapai sasaran seperti yang ditetapkan Mantan Naib Canselor sebelum ini, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin untuk muncul sebagai  Universiti Awam pertama yang memperolehi pensijilan itu.

“Kejayaan ini diperolehi selepas UniMAP berjaya melepasi audit pensijilan semula dan naik taraf oleh SIRIM QAS pada awal Jun lalu dan pengiktirafan ini sah digunakan sehingga Julai 2019.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini dan ia merupakan hasil kerja keras Pusat Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti yang bertanggungjawab sebagai penyelaras Sistem Pengurusan Kualiti UniMAP,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dato’ Zul Azhar berharap agar pengiktirafan tersebut akan dapat dikekalkan dan semua jabatan di UniMAP harus bersama-sama melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti berdasarkan piawaian baru MS ISO 9001:2015 itu.

Untuk rekod, UniMAP pernah menerima pengiktirafan MS ISO 9001:2008 dari SIRIM pada Julai 2013 bagi Sistem Pengurusan Kualiti, pengiktirafan tersebut sah digunakan selama tiga tahun sehingga Julai 2016.