- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
21 Pelajar Terpilih Program Outbound Mobiliti Ke UUI
Pauh Putra, 26 Ogos – Seramai 21 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpilih bagi mengikuti program mobiliti pelajar ke Universitas Ubudiyyah Indonesia (UUI) selama dua minggu mulai hari ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan berkata program mobiliti pelajar ke UUI adalah program yang pasti memberi pengalaman yang berharga kepada peserta.
Katanya, beliau berharap pelajar-pelajar yang terpilih ke UUI dapat membawa imej yang baik sepanjang berada di UUI memandangkan UUI juga sangat rapat dengan UniMAP hasil pelbagai kerjasama sebelum ini.
“Saya juga berharap setiap pelajar dapat mengikuti program yang diaturkan oleh UUI dengan baik dan membawa pulang pengalaman serta pengetahuan untuk dikongsi dengan pelajar-pelajar lain dalam diskusi ilmu nanti,” katanya ketika berucap menyampaikan amanat di Majlis Pelepasan Program Outbound Mobiliti di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), di sini.
Turut hadir Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa (CIA) UniMAP, Dr Nurhafiza Muhammad.
Sementara itu, seorang pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Alam Sekitar, Chen Wen Li berkata dia teruja mengikuti program berkenaan walaupun terpaksa berkorban cuti semester lebih awal.
Menurutnya yang berasal dari Sabah, dia menempah tiket penerbangan ke Pulau Pinang seminggu lalu untuk kembali ke UniMAP bagi mengikuti program itu.
“Saya tidak kisah walaupun terpaksa kembali ke UniMAP lebih awal sebelum ke Acheh kerana tidak sabar melihat sendiri wilayah itu buat pertama kalinya,” katanya.
Rakan sekuliahnya, Safya Abdul Malik berkata dia terkejut apabila dihubungi pihak PPK pada bulan Jun lalu memaklumkan dia terpilih ke UUI.
“Saya tidak menyangka akan terpilih ke UUI kerana dimaklumkan beberapa kriteria diperlukan untuk terpilih ke sana dan bersyukur diberi peluang ini,” katanya.
Seorang lagi pelajar Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM), Nurhafiz Abdul Razak berkata dia mengisi borang bagi mengikuti program berkenaan sebelum cuti semester dan tidak menyangka antara yang terpilih.
Mulai tahun lalu, UniMAP memberi fokus terhadap program inbound dan outbound mobiliti pelajar dalam usaha meningkatkan reputasi akademik di peringkat nasional dan antarabangsa.
Baru-baru ini seramai lapan pelajar terpilih ke program sama di Universiti Nahda, Egypt di Mesir.