A+ A A-

80 Pelajar Antarabangsa UniMAP Terima Sijil Graduasi IEC

Pauh Putra, 25 Ogos – Seramai 80 pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima sijil graduasi Kursus Bahasa Inggeris Antarabangsa (IEC) di sini, baru-baru ini.

Mereka yang berasal dari 19 negara mengikuti kursus berkenaan sejak April lalu sebagai persediaan bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di universiti itu.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata beliau berharap semua pelajar antarabangsa yang menyambung pengajian ijazah selepas ini sentiasa bercampur dengan pelajar tempatan bagi mewujudkan suasana harmoni berbilang bangsa di UniMAP.

“Hargai pengalaman menimba ilmu di sini dengan sebaiknya dengan bercampur dan tidak berpuak-puak dengan rakan negara asal sahaja agar kehidupan anda lebih menyeronokkan sepanjang pengajian di sini.

“Saya percaya ramai di kalangan pelajar datang ke negara ini buat pertama kali malah tidak pernah ke luar negara sebelum ini, justeru pengalaman yang diperolehi di sini daapt dikongsi bersama keluarga di negara asal masing-masing,” kata beliau ketika Majlis Graduasi IEC di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP).

Dalam majlis tersebut pelajar antarabangsa turut mempersembahkan seni mempertahankan diri iaitu silat selain pertunjukan memakan kaca, berjalan tanpa kasut dan berbaring di atas kaca.

Hadir sama Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) UniMAP Prof Dr Harshita Aini Haroon.

IEC diwajibkan kepada pelajar antarabangsa bagi meningkatkan kefasihan bahasa Inggeris di kalangan mereka sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah di UniMAP.