- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Pelajar UniMAP Kekal 100 peratus Dalam Kampus
Kangar, 26 Ogos – Kesemua pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan kekal 100 peratus menginap dalam kampus dengan siapnya Kolej Kediaman Tun Abdul Razak (PFI 2).
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, dengan terbinanya PFI 2 ini mampu menampung sehingga 4,000 pelajar terutamanya pelajar pusat-pusat pengajian dalam kampus tetap.
“Ini sekaligus memastikan semua pelajar UniMAP akan terus menetap dalam kampus,” katanya ketika berucap dalam satu majlis kesyukuran sempena tertubuhnya Kolej Kediaman Tun Abdul Razak (PFI 2) bertempat di Kampus Induk universiti tersebut pagi tadi.
Tambahnya, dengan penempatan 100 peratus dalam kampus akan menjimatkan masa dan mengurangkan perjalanan pelajar yang sebelum ini perlu mengambil masa yang agak lama untuk tiba di pusat-pusat pengajian mahupun kemudahan lain di UniMAP.
PFI 2 atau juga dikenali sebagai kolej kediaman Inisiatif Pembiayaan Swasta ini mula dibina pada 6 Disember 2013 dan mempunyai 12 blok empat tingkat dengan 480 rumah pelajar termasuk 16 buah rumah Orang Kurang Upaya (OKU).
“Mengikut perancangan awal, kita akan menempatkan pelajar baharu sidang akademik 2016/2017 yang akan mendaftar pada 28 Ogos ini. Namun atas beberapa faktor, kita terpaksa mengubah rancangan tersebut dengan memindahkan mereka ke penempatan sementara di Bumita.
Ini bagi memastikan fasiliti yang terbaik disediakan di PFI 2 sebelum menerima pelajar hujung tahun nanti,’ katanya.
Kolej kediaman ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti medan selera, gelanggang permainan, mesin automatik pengeluaran wang, bilik-bilik diskusi selain berfungsi sebagai pejabat pentadbiran.
“Justeru, saya berharap kolej kediaman ini dapat dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya sepertimana pertama kali kita jejaki selepas siap dibina,” tambahnya.
Bagi memastikan tiada isu seperti sampah, kesesakan dan sebagainya, beliau menyeru agar kolej kediaman baharu ini ditadbir dengan konsep kampus lestari melalui penyediaan persekitaran yang kondusif sekaligus merealisasikan impian menjadikan kampus induk UniMAP ini sebagai kampus hijau.