A+ A A-

CEGeoGTech UniMAP Kerjasama Dengan Industri Jepun Terokai Bidang Penyelidikan Aeroangkasa

Kangar, 30 Ogos - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dibawah Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) menerokai bidang penyelidikan bahan aeroangkasa melalui kerjasama dengan Nihon Superior Co. Ltd. Di yang berpengkalan di Osaka, Jepun.

Kerjasama tersebut merupakan susulan kerjasama yang telah terjalin sebelum ini dengan fokus kini ialah membangunkan bahan pateri bagi kegunaan aeroangkasa dengan peruntukan geran tambahan kepada penyelidikan sedia ada bernilai RM 500 ribu, ujar Ketua Penyelidiknya, Dr. Mohd. Arip Anuar Mohd. Salleh.

Menurut beliau, bahan pateri untuk kegunaan aeroangkasa memerlukan sifat bahan yang mampu bertahan pada keadaan sekeliling yang sangat ekstrim, justeru pihaknya yakin mampu membangunkan bahan pateri tersebut berdasarkan kepakaran dan fasiliti yang telah ada di UniMAP.

UniMAP sebelum ini sememangnya telah menjalinkan kerjasama dengan Nihon dengan fokus pada bahan pateri, cuma pada kali ini kita lebih berfokus untuk menghasilkan bahan pateri untuk kegunaan aeroangkasa,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Persetujuan tersebut dicapai susulan lawatan kerja CEGeoGTech ke Osaka Jepun yang turut disertai oleh Pengurus CEGeoGTech Prof Madya Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah serta pelajar PhD UniMAP, Mohd Natashah Norizan.

Dalam perbincangan tersebut, Nihon Superior diwakili oleh Presidennya sendiri, Tetsuro Nishimura dan beberapa penyelidik lain.

Kolaborasi penyelidikan didalam bidang pembangunan bahan pateri diantara UniMAP dan Nihon Superior Japan telah bermula sejak tahun 2012 dimana terdahulu geran penyelidikan sebanyak hampir setengah juta serta tajaan pengajian diperingkat sarjana kepada 5 orang pelajar UniMAP telah diperolehi.

Dalam pada itu, Mohd. Mustafa Al-Bakri berkata, selain kunjungan ke Nihon Superior, CEGeoGTech UniMAP turut menjalinkan hubungan dan kerjasama baharu dengan rakan institusi akademik di Jepun iaitu Jabatan Seramik Fakulti Sains Hidup dan Kimia Gunaan, Nagoya Institute of Technology (NIT).

Ujar beliau, berdasarkan perbincangan awal, kedua-dua pihak bersetuju untuk  meningkatkan impak dan hasilan penyelidikan dalam bidang geopolimer konkrit dengan kehadiran bakteria bagi aplikasi pembaikan bahan  yang dijalankan oleh CEGeoGTech.

“Bakteria yang digunakan nanti akan dihasilkan sendiri oleh penyelidik daripada kedua-dua pihak. Hasil penggunaan bakteria ini mampu membantu konkrit yang retak melakukan aktiviti pembaikan secara sendiri (self-healing).

“Selain itu, persetujuan juga telah dicapai untuk penempatan staf atau pelajar yang akan menjalankan kajian dalam bidang yang telah dipersetujui. Semoga dengan kerjasama ini akan mengukuhkan lagi hubungan dan keterlihatan UniMAP di kalangan institusi akademik di negara matahari terbit itu,” ujarnya lagi.

Dalam pertemuan tersebut, pihak NIT diwakili oleh Prof. Madya Dr. Shinobu Hashimoto dan Dr. Hayami Takeda.