A+ A A-

KOR SUKSIS UniMAP Diiktiraf Terbaik Di Malaysia

Kangar – Pasukan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diiktiraf sebagai Skuad Kor SUKSIS keseluruhan terbaik Universiti Awam (UA) pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS UA Kali ke-12 yang diadakan di Universiti Putra Malaysia baru-baru ini.

Lebih membanggakan, pelatih Kor SUKSIS UniMAP, Mohamad Syafiq Zakaria memberikan kejayaan berganda buat pasukan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelatih Kor SUKSIS Keseluruhan Terbaik UA.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, anugerah yang pertama kali diperkenalkan itu antara lainnya bertujuan mengiktirafkan dan menghargai sumbangan para pelatih SUKSIS melalui aktiviti latihan sepanjang tempoh tiga tahun (2013-2016) di universiti masing-masing.

Ujar beliau, menerusi anugerah yang diperkenalkan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKKK) Bukit Aman, pasukan Kor SUKSIS dan pelatih masing-masing dinilai berdasarkan sumbangan yang diberikan di peringkat universiti, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau yang juga merupakan Komandan Kor SUKSIS UniMAP berkata, pasukan Kor SUKSIS UniMAP sangat aktif menganjurkan pelbagai misi dan program kemasyarakatan dalam tempoh tiga tahun yang lalu termasuk dua program antarabangsa iaitu  SUKSIS Community Outreach Program & Engagement (SCOPE) di Cambodia pada 11 hingga 15 November 2015; Sustain The Nature for The Future di Pulau Langkawi pada 2 hingga 4 Oktober 2015.

“Di peringkat kebangsaan pula, Kos SUKSIS UniMAP turut menghulurkan bantuan menjayakan Ops Pasca Bencana Kelantan pada Januari 2015 selain turut  menjadi johan keseluruhan Kejohanan Sukan SUKSIS Zon Utara (SUTRA) Tahun 2014.

“Sebagai Komandan, saya amat berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh para pelajar ini tambahan pula apabila dua pelatih Kor SUKSIS UniMAP iaitu Nor Syafieqah Aiman Syahrul Effendy dan Mohamad Syafiq terpilih sebagai Pegawai dan Penolong Pegawai Baris sempena perbarisan tamat latihan,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 1,082 pelatih dari 19 Universiti Awam telah menerima Sijil Pelantikan Inspektor Polis Sukarela dari Timbalan Ketua Polis Negara, YDH Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, dimana seramai 58 orang pelatih mewakili Kor SUKSIS UniMAP.

Pada majlis itu juga, tiga pelatih Kor SUKSIS turut menerima anugerah berikut Pelatih Keseluruhan Terbaik (UniMAP) yang diberikan kepada Mohamad Syafiq; Pelatih Terbaik Latihan Luar (UniMAP), Nor Syafieqah Aiman dan Pelatih Terbaik Latihan Akademik (UniMAP), Mohamad Zulhairi Zuriman.

Yang Turut hadir,  Ketua Polis Perlis, SAC Dato Ab Rashid Ab Wahab; Timbalan Komandan UniMAP, SUPT/KS Prof. Madya Dr. Khairul Nizar Ismail; Pegawai Latihan Luar, ASP/KS Raja Shah Erman Raja Arifin; Pegawai Akademik UniMAP, ASP/KS Rohazita Bahari dan Pegawai Latihan UniMAP, Insp. Rohmah Li.

Menurut Dr. Zul Azhar, pembentukan mahasiswa yang berdaya saing perlu seiring dengan pencapaian prestasi akademik yang akan menjadikan Anggota Kor SUKSIS UniMAP itu sendiri mempunyai nilai tambah berbanding pelajar lain yang tidak berpeluang membina ilmu dan kemahiran secara komprehensif.

“Dengan kejayaan dan inisiatif khidmat komuniti yang telah dimulakan sebelum ini, saya berharap ianya tidak terhenti malah menjadi titik permulaan untuk kita terus menerajui inisiatif berimpak kepada universiti, komuniti, negara dan antarabangsa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad Syafiq berkata, kejayaan tersebut merupakan sesuatu yang cukup bermakna sepanjang penglibatan beliau dalam aktiviti kokurikulum di universiti.

“Menjadi pelatih terbaik keseluruhan UA merupakan impian setiap pelatih, dan ianya menjadi suntikan semangat untuk saya terus aktif menabur bakti kepada komuniti dan masyarakat selepas ini.

“Peranan yang dimainkan oleh gologan mahasiswa sangatlah besar memandangkan kami merupakan generasi yang berada di institusi pengajian tinggi dan golongan yang sangat aktif menuntut ilmu dan senantiasa dijadikan contoh oleh masyarakat umum,” ujarnya.

Tambah beliau,  mahasiswa juga  perlu bersedia untuk menjadi penggerak utama dalam menjayakan Wawasan 2020 selagi mana  kepakaran, kemahiran, pendapat dan pandangan mahasiswa diambil kira sebagai pembinaan asas menuju ke arah negara maju.