- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Bantu Perkasakan Bahasa Melayu di Thailand
KANGAR, 2 September: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited dalam usaha membantu masyarakat di Daerah Phang Nga, Thailand dalam memperkasakan Bahasa Melayu.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, berkata, Program Memperkasa Bahasa Melayu Wilayah Andaman Fasa 1-4, berkonsepkan perkongsian ilmu bahasa Melayu yang melibatkan perkongsian pengalaman pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dengan kaedah penyampaian ilmu yang komperehensif.
“Hasrat untuk mewujudkan program ini telah disuarakan Tuanku Canselor UniMAP sendiri setelah baginda menerima cadangan daripada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla berhubung inisiatif pemerkasaan Bahasa Melayu di enam Wilayah Andaman, Thailand.
“Sehubungan itu Pusat Bahasa Antarabangsa (PBA), UniMAP telah diberi amanah untuk mengenalpasti inisiatif-inisiatif yang sesuai untuk dilaksanakan agar hal berkenaan dapat direalisasikan,”katanya ketika berucap merasmikan penutup Program Memperkasa Bahasa Melayu Wilayah Andaman Fasa 1-4, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Penasihat Fahad Wittayathan School, Prasert Prasankarn dan Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon.
Pada majlis itu juga telah dilancarkan buku pembelajaran bahasa Melayu berjudul ‘Asas Berbahasa Melayu (Terjemahan Bahasa Thai).Buku tersebut akan dijadikan sebagai panduan sukatan pelajaran bagi sekolah yang terlibat dalam program itu.
Ujar Dr. Zul Azhar lagi, program yang dijalankan sebanyak empat fasa itu melibatkan lima buah sekolah di wilayah Phang Nga bermula Disember 2015 yang lalu.
“Untuk fasa satu hingga tiga, tenaga pengajar UniMAP berkunjung ke Thailand untuk mengajar di lima sekolah yang terpilih iaitu Fahad Wittayathan School, Tarbiah Islamiah School, Darissalam Wittaya School, Baan Bosaen School dan Sangkhom Wittaya School.
“Manakala bagi fasa keempat dan terakhir ini, UniMAP telah menjadi tuan rumah untuk sesi perbincangan dan perkongsian silibus pengajaran bahasa Melayu,”katanya.
Seramai 24 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru dari wilayah Phangnga dan lima orang guru bahasa UniMAP telah menyertai program ini selama enam hari lima malam.
Dalam majlis penutup ini juga, UniMAP turut menyumbangkan buku dan wang tunai bagi tujuan pembangunan bahasa Melayu di wilayah Andaman Thailand selain sebagai memenuhi tanggungjawab khidmat masyarakat.