- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Pelajar UniMAP Terpilih Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) 2016
Kangar, 6 Sept – Seorang pelajar tahun dua Diploma Kejuruteraan Mekatronik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) adalah antara 28 peserta dari seluruh negara terpilih menyertai Program Kapal Belia Asia Tenggara & Jepun (SSEAYP) kali ke-43 bagi tahun 2016.
Pelajar itu Peshminder Pall Singh,19, bakal mengikuti program anjuran Kabinet Kerajaan Jepun dengan kolaborasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mulai 25 Oktober hingga 15 Disember ini iaitu selama 53 hari.
Menurut Peshminder, dia memohon bagi menyertai program itu melalui KBS pada Februari lalu serta mengikuti ujian psikologi termasuk Kem Pemilihan yang diadakan selama tiga hari untuk menilai seramai 121 belia dari seluruh negara.
Katanya, dia tidak menyangka terpilih bagi menyertai program itu apabila keputusan dikeluarkan pada Jun baru-baru ini memandangkan ujian yang perlu dilalui agak sukar.
“Saya bersama 28 peserta lain dari seluruh negara bakal menyertai Program ‘Japan-ASEAN Youth Leader Summit’ di Jepun pada 1 November terlebih dahulu sebelum berlayar ke Vietnam pada 4 November menaiki kapal Nippon Maru.
“Kami akan tinggal di Vietnam selama empat hari, kemudian di Thailand juga empat hari, diikuti Singapura dan Indonesia dalam rangka pelayaran itu sebelum kembali ke Jepun semula,” katanya.
Peshminder yang berasal dari Selangor turut berkata keluarga tidak menghalang namun mereka ada menyatakan kerisauan sekiranya tempoh program yang lama menjejaskan pelajarannya yang masih mengikuti pengajian diploma di UniMAP.
“ Saya meyakinkan keluarga bahawa saya mampu mengikuti program itu tanpa mengabaikan pengajian saya memandangkan peluang seperti ini bukan mudah untuk diperolehi kerana perlu melalui ujian psikologi serta beberapa fasa yang agak sukar.
“Malah, saya berharap penyertaan ini dapat menyuntik semangat rakan-rakan lain untuk mengikuti program seperti ini kerana bukan sahaja dapat menimba pengalaman baru, tetapi turut membawa nama UniMAP ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi.
SSEAYP adalah sebuah program yang melibatkan golongan belia dari Asia Tenggara yang dilaksanakan sejak 1974 hasil perjanjian persefahaman antara Jepun dan lima negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Malaysia sendiri.
Seramai 330 belia dari negara Jepun dan 10 negara Asia Tenggara turut menyertai program itu.