- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
11 Ekor Lembu Dikorbankan Pada Majlis Ibadah Korban dan Akikah UniMAP 2016
ARAU, 14 September: Sebanyak 11 ekor lembu dan empat dikorbankan sempena Majlis Ibadah Korban dan Akikah Pusat Islam, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, program yang menjadi tradisi warga UniMAP sejak 2005 itu turut disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi luar.
“Daripada 11 lembu yang dikorbankan pada harini tiga daripadanya adalah penyertaan staf UniMAP yang menyertai melalui skim potongan gaji yang dilakukan sejak Oktober lalu.
“Selain itu kita turut mendapat sumbangan seekor lembu dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim,”katanya ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban dan Akikah, UniMAP, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengurusan Akademik yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamaruddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Pendaftar UniMAP, Zuber Mohamad dan Pengarah Pusat Islam UniMAP, Dr. Ku Mohd Nabil Ku Hamid serta Timbalan Pengarah Biro Tatanegara (BTN), Perlis, Jasmi Jasa.
Ujar Dato’ Zul Azhar lagi, daging korban yang disembelih di UniMAP akan disumbangkan kepada lima buah pusat jagaan anak yatim dan tahfiz di sekitar perlis.
“Antara pusat jagaan anak yatim dan tahfiz yang terpilih adalah Rumah Hembusan Kasih, Asrama Yayasan Saad, Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Teratak Rahmat, Maahad Tahfiz Al Hikmah dan Maahad Tahfiz Al-Quran Ar Raudhah.
“Saya berharap di masa akan datang jumlah lembu atau kambing yang dikorbankan akan bertambah dan kita mengalu-alukan sumbangan NGO atau individu yang berminat untuk turut melakukan amal kebajikan melalui UniMAP,”katanya.
Majlis Ibadah Korban dan Akikah UniMAP disertai lebih 300 pelajar dan staf, ia juga turut mendapat tajaan Kelab Warisan Malaysia (KERIS) NGO yang bernaung dibawah BTN.