A+ A A-

Peserta UTP Juarai Pertandingan Nyanyian Intervarsiti Uthayam 3.0

Pauh Putra, 18 Sept – Peserta dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) berjaya menjadi juara selepas menewaskan enam peserta di Pertandingan Akhir Nyanyian Intervarsiti Uthayam 3.0 yang diadakan di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini.

Arulventhan Manokaran membawa pulang wang tunai RM2,000 beserta trofi manakala pemenang tempat kedua berjaya diraih peserta dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Johor, Mithelle a/p Francis dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi.

Manakala di tempat ketiga berjaya dirangkul Sanjeev Naidu a/l Somasundran dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) serta saguhati diraih peserta dari UTP, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata beliau amat berbangga kerana UniMAP menjadi tuan rumah buat kali kedua bagi salah satu program masyarakat India terbesar setakat ini.

Katanya, ini membuktikan UniMAP sentiasa menyambut baik dan menggalakkan program kebudayaan tidak mengira kaum dan percaya menerusi program seperti itu dapat menonjolkan bakat pelajar khususnya.

“Saya percaya hasil komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh, peserta akan berjaya meraih kejayaan sekaligus memperolehi pengalaman yang berguna untuk masa hadapan,” katanya ketika berucap di pertandingan itu.

Turut hadir, Penasihat Menteri Pengangkutan Malaysia, Tan Sri Datuk Seri M Kayveas dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan.

Uthayam 3.0 adalah pentas bagi menonjolkan bakat muda dari universiti dan politeknik seluruh Malaysia dalam bidang nyanyian dengan tema  “Sanggama Tamil” bagi program kali ini di UniMAP.

Program anjuran Sekretariat Ponggal Gala Nite 2016/17 yang juga dikenali sebagai Chatrah Yugam di bawah kendalian Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, dan Minnal Fm itu turut menyalurkan sumbangan hasil dari keuntungan yang diperolehi kepada keluarga yang memerlukan terutamanya bagi yang kurang berkemampuan membiayai pendidikan anak-anak di wilayah utara.