- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Penerbit UniMAP Bakal Lancar Buku Di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia 2016
Kangar, 27 September 2016 - Penerbit Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) buat julung kalinya bakal mengambil bahagian dalam Pesta Buku Indonesia yang merupakan antara inisiatif strategik untuk memasarkan buku-buku terbitan Penerbit UniMAP di luar negara melalui kerjasama bersama Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).
Selain itu, penyertaan yang turut mendapat kerjasama daripada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) serta penerbit dari Indonesia juga turut diharap dapat memuktamadkan beberapa perjanjian termasuk perjanjian pemasaran pengedaran buku ilmiah e-book dengan syarikat BUQU Indonesia.
Pengarah Penerbit UniMAP, Prof. Dr. Asiah Sarji berkata, Penerbit UniMAP juga bercadang untuk mengadakan perbincangan peringkat akhir untuk membeli dan menjual hak cipta dengan Penerbit Rosda Karya juga dari Indonesia.
“Selain terlibat dalam mempamerkan serta membuat jualan buku di booth yang disediakan pihak MAPIM, beberapa siri pertemuan dan perbincangan telah diatur dengan penerbit-penerbit ilmiah dan komersil untuk mengadakan kerjasama dan penjualan hak cipta karya terbitan UniMAP.
“Pihak kami bercadang untuk mempamerkan 10 judul dan menjual sekurang-kurangnya dua naskhah untuk setiap judul. Di samping itu, terdapat juga jualan langsung buku berkaitan media dan komunikasi di Universitas Pancasila Jakarta dan Penerbit mengharapkan terdapat tempahan untuk buku-buku tersebut,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Dr. Asiah lagi, Penerbit UniMAP menjangkakan 20 buah buku terbitan UniMAP dapat disenaraikan dalam portal katalog e-book BUQU Indonesia dalam tempoh enam bulan pertama manakala impak pembelian hak cipta pula dijangkakan dalam tempoh setahun.
Penyertaan kali pertama itu juga, ujar Dr. Asiah bakal mencatatkan sejarah baharu melalui pelancaran sebuah antologi puisi yang ditulis oleh beliau sendiri di Balai Sidang, Jakarta Convention Centre yang pada 30 September.
“Buku ini amat besar ertinya buat saya yang digarap hasil pengalaman dan pemerhatian dalam menjalani kehidupan dari zaman remaja sekitar tahun 1960-an sehinggalah sekarang.
“Sajak-sajak di dalam buku ini dibahagikan kepada lima bahagian yang menceritakan mengenai hubungan kekeluargaan, cinta, lelaki, kehidupan dan negara bangsa yang mana ia merupakan hadiah istimewa saya buat UniMAP atas peluang yang diberikan untuk berkhidmat di universiti tersebut sejak enam tahun yang lalu,” ujarnya lagi.
Menurut Dr. Asiah juga, beliau secara terang dan yakin cuba untuk menyampaikan kepada para pembaca apa yang beliau rasa dan lalui melalui penulisan sajak-sajak dengan menggunakan bahasa separa-prosaik dan mudah untuk difahami pembaca.
Buku ini boleh didapati dengan harga RM42.00 di Penerbit UniMAP di No. 98, Aras 1, Blok A, Taman Pertiwi Indah, Jalan Kangar – Alor Setar, Kangar Perlis atau menghubungi talian 04-9775159.