- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Raih Tempat Ketiga Pesta Pantun Terbuka Perlis
KANGAR, 30 September 2016 - Wakil Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Pesta Pantun Terbuka Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Syarahan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, di sini.
Kumpulan UniMAP A yang diwakili empat peserta membawa pulang piala dan wang tunai RM 800 beserta sijil manakala Kumpulan UniMAP B pula menduduki tempat keempat dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 500 serta sijil.
Pengurus pasukan pantun UniMAP, Suhaidah Said berkata, penampilan sulung pasukan pantun UniMAP pada pertandingan itu merupakan pendedahan awal kepada para pelajar yang majoritinya dari jurusan kejuruteraan.
“Jika dilihat pada pencapaian kita untuk penyertaan kali pertama ini, saya yakin pasukan pantun UniMAP mampu untuk pergi lebih jauh jika diasuh dengan baik.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa seni bahasa Melayu ini mampu dimartabatkan oleh golongan muda, namun perlu kita tanamkan minat dikalangan mereka, dan inilah sebenarnya peranan yang perlu dimainkan oleh Pensyarah dan Tenaga Akademik Bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Peserta pantun UniMAP A dan UniMAP B terdiri daripada tiga orang pelajar ijazah sarjana muda dan tiga orang pelajar diploma iaitu Muhamad Fadhil Azhari Abdul Wahab, Syarifah Noor Anisah Tuan Baru, Siti Nur Aishah Al-Hafizat Abdul Ghani, Muhammad Syahir Aimi Saiman, Muhammad Aiman Hassin dan Muhammad Ikhwan Shafiq Ramli.
Kesemua peserta adalah di bawah pimpinan guru Bahasa Melayu di Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) UniMAP iaitu Mohamad Zaki Abdul Halim serta Mohd Syamril Aklmar Chek Kassim.
Pesta Pantun Terbuka Negeri Perlis 2016 berkenaan adalah anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis dengan kerjasama Persatuan Penulis Perlis (3P).