A+ A A-

UniART Cemerlang Di FSAE-ASEAN

KANGAR, 10 Oktober 2016 – Pasukan Automotive Racing Team Universiti Malaysia Perlis – UniART cemerlang selepas dinobatkan sebagai Johan bagi kategori Persembahan Rancangan Perniagaan di Formula SAE-ASEAN di Speedway Plus Circut, Subang Jaya,Selangor baru-baru ini.

Lebih membanggakan, pasukan UniART turut meraih Naib Johan kategori Analisis Kos serta tempat ketiga bagi kategori Rekaan Kejuruteraan sekaligus meletakkan ciptaan pasukan universiti kejuruteraan di utara itu di tempat ketiga terbaik keseluruhan dengan enam anugerah diraih.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik UniMAP, Dr Md Tasyrif Abdul Rahman yang mengetuai pasukan itu berkata, UniART turut dianugerahkan Anugerah Khas kategori Pasukan Berimpak Terbaik oleh syarikat ACCMS Warranty & Services di atas usaha dan dedikasi yang ditunjukkan oleh setiap ahli pasukan.

Katanya, ahli pasukan UniART terdiri daripada 17 pelajar yang dibahagikan kepada dua kru utama iaitu kru teknikal dan kru pengurusan yang mewakili tiga pusat pengajian di UniMAP iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

Antara peranan dan tugas kru ini, ujar beliau ialah membuat analisis kekuatan dan kelemahan bahagian masing-masing bagi persiapan membangunkan jentera UniART.

“Banyak cabaran perlu dilalui, justeru kami berbangga dapat meraih banyak kategori anugerah di FSAE termasuk anugerah khas yang diberikan salah satu penganjur setelah melihat semangat juang, kesungguhan dan kepantasan pasukan kami menyelesaikan masalah serta cabaran sepanjang FSAE ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, cabaran yang paling besar adalah masa kerana setiap ahli pasukan adalah pelajar yang perlu membahagikan masa mereka dengan rutin mengikuti kuliah dan pada masa yang sama perlu menyiapkan jentera sebelum ke FSAE.

“Pelbagai jenis ujian, analisis dan modifikasi bagi menyiapkan jentera ini dengan sesi latihan di Litar Go-Kart UniMAP kerana ini adalah penyertaan kali pertama UniART di FSAE.

“Walaupun kami tidak dapat menyertai salah satu acara iaitu acara dinamik semasa FSAE kerana kegagalan mekanikal, namun menjadi salah satu pasukan yang melepasi tiga kategori pemeriksaan mengikut ‘standard’ FSAE yang ketat memberi pengalaman yang sangat penuh bererti kepada kami semua,” katanya.

FSAE merupakan pertandingan rekaan yang merangkumi perniagaan dan industri automotif anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI) dengan kerjasama beberapa syarikat lain.