- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Mahasiswa Diseru Tingkatkan Semangat Kesukarelawan
Pauh Putra, 10 Oktober 2016 Mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diseru agar bergiat aktif dan melibatkan diri dalam program-program yang melibatkan kesukarelawan bagi membantu masyarakat sekeliling.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, beliau melihat budaya atau semangat kesukarelawan dikalangan mahasiswa tidak lagi tinggi seperti dulu.
Saya berharap barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP akan dapat menerapkan budaya atau sifat kesukarelawan dikalangan golongan muda.
Jangalah kita melakukan sesuatu perkara itu semata-mata untuk melengkapkan syarat bagi bergraduat semata-mata, kerana mahasiswa mampu untuk membantu memastikan agenda atau isu-isu semasa boleh ditangani bersama,katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penyerahan Watikah MPP UniMAP 2016/2017 di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Dekan Pengurusan Akademik, menjalankan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamaruddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan dan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Razli Ahmad.
Ujar Beliau lagi, sebagai mahasiswa, mereka boleh melakukan pelbagai perkara untuk memastikan semangat kesukarelawan dapat ditingkatkan.
Budaya yang mahasiswa bangunkan ini akan dapat menjadi nilai tambah dan amat membantu semasa bekerja nanti ke satu tahap yang lebih tinggi,katanya lagi.
Pada majlis tersebut, seramai 33 calon barisan kepimpinan Majlis Sesi 2016/2017,menerima watikah pelantikan yang terdiri daripada tujuh calon umum dan 26 calon Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK).
Sesi 2016/2017 menyaksikan pelajar PPK Pembuatan, Nurhazwani Zabidin telah dilantik sebagai Yang DiPertua MPP yang baharu manakala Muhammad Amir Hakim Razali dari PPK yang sama dilantik sebagai Timbalan Yang DiPertua MPP UniMAP.
Datuk Zul Azhar juga turut menasihati semua MPP yang baharu dilantik untuk menjadi contoh positif bukan saja kepada pelajar UniMAP tetapi juga masyarakat luar.
MPP selaku barisan utama suara mahasiswa diseru agar mempersiapkan mental dan fizikal terutama dalam mengharungi Tahun 2017 yang agak mencabar dari segi ekonomi dan pengaruh-pengaruh luar.
Anda hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komited dan ikhlas demi kelangsungan kepimpinan yang dinamik di peringkat UniMAP, katanya.