A+ A A-

Masyarakat Disaran Jalani Ujian Kesan Jangkitan HIV/AIDS

Pauh Putra, 8 Oktober 2016 – Masyarakat disaran menjalani ujian dan rawatan bagi mengesan jangkitan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) akibat virus HIV.

Mereka yang berisiko terutamanya, perlu mengikis perasaan malu malah boleh menjalani ujian di klinik-klinik kerajaan termasuk klinik 1 Malaysia secara percuma.

Ketua Penolong Pengarah AIDS/STI Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Rohemi  Abu Bakar berkata epidemik HIV/AIDS di negara ini telah mencatatkan tren penurunan sebanyak 50 peratus berbanding tahun 2002, namun kekal mendatar sejak 2010 hingga 204.

“Kita berjaya mencapai sasaran Millennium Development Goals (MDGs) kerajaan pada tahun 2002 iaitu untuk menurunkan sebanyak separuh kes pada 15 tahun akan datang.

"Namun masalah seks bebas menyumbang kepada penyakit HIV/AIDS menyebabkan jangkitan terus berlaku apabila penghidap malu untuk tampil menjalani ujian dan rawatan”, katanya ketika menyampaikan ceramah yang bertajuk Remaja & HIV Cabaran dan Peranan sempena Program HIV/AIDS di Dewan Keikhlasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini.

Program berkenaan dihadiri hampir 400 pelajar tahun satu UniMAP dan dirasmikan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal. Yang turut hadir Pengarah Pusat Kesihatan UniMAP, Prof. Dr Mohamad Iqbal Omar.

Sementara itu, Dr. Zul Azhar berkata, penganjuran program tersebut diharap dapat memberi maklumat yang lebih jelas kepada pelajar dan kakitangan UniMAP mengenai AIDS dan HIV agar jumlah pengidap virus ini dapat diturunkan.

“UniMAP sentiasa menjalankan pelbagai program untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai HIV/AIDS ini terutama kepada pelajar baharu bagi mengelakkan mereka terjebak dengan salah laku yang berisiko ke arah penyakit itu.

“Taklimat dan kempen kesedaran akan diadakan dari masa ke semasa agar UniMAP sentiasa bebas HIV/AIDS sekaligus menyahut sasaran kerajaan bagi mengakhiri HIV/AIDS di negara ini pada tahun 2030,” kata beliau.

Ceramah oleh Pegawai Psikologi UniMAP Nur Aimi Muslim turut disampaikan di program anjuran Pusat Kesihatan UniMAP dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri itu.