A+ A A-

UniMAP Johan Pertandingan Projek Penyelidikan Inovasi Nanoteknologi (PIN)

Kangar, 14 Oktober: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dinobatkan johan Pertandingan Projek Penyelidikan Inovasi Nanoteknologi (PIN)  Peringkat Kebangsaan 2016, di Technology Park Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.

Tesis bertajuk Pembangunan Biopenderia Wayar-Nano Silikon Novel untuk Pengesanan DNA Virus Denggi yang dihasilkan Dr. Mohammad Nuzaihan Md Nor dari  Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) berjaya menambat hati para juri sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500, trofi dan sijil .

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri, Kementerian Sains ,Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

PIN dianjurkan bersempena Program Nano Kebangsaan 2016 (NanoKEB 2016) telah berlangsung pada 10 Oktober 2016  bertujuan bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar daripada peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah yang mempunyai idea kreatif dan inovatif dalam menghasilkan penyelidikan bagi mencari penyelesaian masalah-masalah seperti Tenaga dan Alam Sekitar, Penjagaan Kesihatan dan Perubatan, Pertanian dan Makanan serta Elektronik dan Sistem.

Pertandingan itu hanya terbuka kepada pelajar-pelajar peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah yang berdaftar di institusi pengajian tinggi awam serta swasta di Malaysia.

Seramai 16 peserta kategori Doktor Falsafah dan 12 peserta kategori Sarjana telah dinilai dan terpilih untuk menyertai pertandingan tersebut.