- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Sektor Pengajian Tinggi Perlu Tingkat Daya Saing Global
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Sektor pendidikan tinggi perlu meningkatkan daya saing global dalam menghadapi perubahan teknologi baharu dalam pelbagai bidang pekerjaan, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah orientasi perkhidmatan baharu, teknologi dan inovasi semakin didorong oleh peningkatan dalam permintaan terhadap bakat global.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Pameran dan Persidangan Pemimpin Profesional Dalam Pendidikan Asia Pasifik (QS-APPLE) ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.
Seramai 664 peserta terdiri daripada Naib Canselor, presiden universiti, pembuat dasar, ahli akademik, penyelidik dan pentadbir yang mewakili 140 institusi dari 31 negara menyertai persidangan itu.
"Mewujudkan pendidikan tinggi yang berkualiti bagi memenuhi keperluan masa kini dan masa hadapan khusus untuk meningkatkan daya saing global adalah cabaran besar kepada sektor pendidikan tinggi," titah baginda.
Teks ucapan baginda diedarkan UniMAP hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin yakin sektor pekerjaan di masa hadapan mendambakan penguasaan tinggi dalam bidang teknologi baharu sejajar dengan keperluan semasa.
"Jeff Weiner, Ketua Pegawai Eksekutif LinkedIn mengutarakan fakta menarik bahawa lebih daripada lima juta pekerjaan akan digantikan oleh teknologi baharu pada tahun 2020," titahnya.
Baginda menjangkakan pekerjaan baharu akan diwujudkan pada masa akan datang termasuk dalam bidang pengurusan data arus, data aktuari dan sistem antropologi akan berkembang dengan keperluan teknologi baharu.
Raja Muda Perlis berharap QS APPLE akan mampu menyediakan landasan yang tepat dalam sistem pendidikan tinggi untuk bertukar-tukar idea, mencipta rangkaian dan meneroka peluang-peluang baharu.
Sistem pendidikan tinggi di seluruh dunia juga dijangka akan memanfaatkan dan melahirkan bakat-bakat seiring dengan perkembangan teknologi.
Pameran dan persidangan anjuran bersama UniMAP dan QS Education Trust itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam.
Berangkat sama ke majlis perasmian itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur serta Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.
-- BERNAMA