A+ A A-

Malaysia Semakin Capai Kemajuan Ke Arah Universiti Penyelidikan Bertaraf Dunia - Noorul Ainur

PUTRAJAYA, 22 Nov (Bernama) -- Malaysia semakin mencapai kemajuan ke arah mewujudkan universiti penyelidikan bertaraf dunia untuk negara, kata Ketua Setiausahan Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur.


Beliau berkata inisiatif itu, yang bermula pada 2001 seperti digariskan dalam Rangka Rancangan Jangka panjang (OPP) Ketiga dan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025), akan mewujudkan enjin pertumbuhan di negara ini.


"Universiti Penyelidikan sentiasa dianggap sebagai peneraju dan pemangkin bagi menimba ilmu, menjana kekayaan dan kesejahteraan masyarakat.


"Usaha Malaysia ke arah mencapai kecemerlangan bertaraf dunia tidak bermula dari peringkat awal. Kementerian Pendidikan Tinggi menggunapakai pendekatan paling praktikal untuk mewujudkan universiti bertaraf dunia melalui peningkatan beberapa universiti terpilih yang sedia ada," katanya.


Noorul Ainur berkata demikian dalam ucaptamanya pada Persidangan Pemimpin Profesional Dalam Pendidikan Asia Pasifik (QS-Apple) ke-12 di sini hari ini.


Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan marasmikan acara itu. Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Noorul Ainur berkata Malaysia telah mengorak langkah besar untuk meningkatkan pencapaian universiti awam tempatan dengan memperkenalkan status Universiti Penyelidikan kepada lima universiti awam.

Kelima-lima universiti tersebut ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


"Universiti tersebut bukan hanya akan membangunkan tenaga kerja masa depan tetapi juga menjadi pusat untuk mewujudkan modal intelektual dan pengetahuan baharu," katanya.

Beliau berkata kesemua kelima-lima universiti penyelidikan telah berjaya memperoleh rating enam bintang dalam audit Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) bagi tahun 2014-2015.


"Universiti Malaya, universiti tertua dan berprestij melonjak daripada universiti 300 teratas pada 2010 kepada ranking universiti 200 teratas pada 2016.

"Malah, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysiaberada dalam kelompok universiti 300 teratas dalam laporan ranking terkini berbanding 400 teratas pada 2010," kata beliau.

Persidangan dan pameran selama tiga hari itu dianjurkan bersama oleh QS-APPLE dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).


-- BERNAMA