- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Pelajar Perlu Aktif Dalam Bidang Sukarelawan Dan USR
ALOR SETAR, 20 November – Penglibatan pelajar dalam bidang ko-kurikulum diharap mampu merealisasikan hasrat universiti untuk melahirkan lebih ramai sukarelawan yang mampu mendokong pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dalam ucapannya berkata, jika konsep ini mampu diterjemahkan dalam semua badan-badan beruniform maka sudah pasti segala sumber yang ada di universiti ini mampu untuk dimanfaatkan bersama secara optimum dan sinergi.
Ia seterusnya dapat digemblengkan untuk memperoleh hasil yang diharapkan dan lebih bermakna dan pada masa sama melahirkan insan yang prihatin dan berbakti kepada masyarakat.
“Justeru adalah menjadi harapan saya untuk melihat Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UniMAP sebagai model atau kerangka utama untuk merealisasikan kejayaan pelaksanaan USR ini sejajar dengan hasrat UniMAP kearah 500 Universiti Terbaik Dunia menjelang 2020,” ujarnya ketika berucap pada majlis Santapan Regimental Pegawai Kadet Palapes UniMAP Ke-9 di sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 116 Pegawai Muda Palapes UniMAP ditauliahkan dalam Tentera Darat Malaysia.
Muhamad Rafini Kamaruzaman diumumkan sebagai penerima anugerah Pegawai Kadet terbaik keseluruhan manakala bagi anugerah ketenteraan terbaik disandang oleh Danial Adeeb Rozani manakala Tham Weng Hing menerima anugerah akademik terbaik (ijazah) dan Tan Xin Cong akademik terbaik (diploma).
Anugerah disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Berkenan berangkat hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, bentuk ancaman global yang pantas berubah memerlukan setiap anggota tentera lebih peka dan sensitif terhadap perkembangan semasa.
Menurut baginda, ancaman terkini yang tradisional atau bukan tradisional termasuk dari luar negara adalah serius kerana terbukti ia merebak dengan pantas dan memberi kesan terhadap keselamatan negara.
"Ancaman-ancaman yang menjadi konflik semasa ini seperti Daesh atau IS adalah benar dan bukan rekaan. Punca konflik lain seperti bencana alam atau malapetaka, ekonomi dan kemiskinan, amalan politik tidak sihat dan campur tangan pihak asing juga boleh menjejaskan ketenteraman negara," titah Tuanku Syed Faizuddin.
Sehubungan itu, baginda bertitah setiap anggota tentera termasuk Askar Wataniah harus menanam perasaan bangga menjadi sebahagian pasukan profesion mulia yang mempertahankan agama, bangsa dan negara.