A+ A A-

600 Pelajar Sertai IEEE UniMAP SB Colour Run

Arau, 20 November – Lebih 600 pelajar mengambil bahagian dalam acara “IEEE UniMAP SB Colour Run” yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Institut Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (IEEE) Cawangan Pelajar Universiti Malaysia Perlis (IEEE SB UniMAP) di Kampus UniMAP Pauh Putra di sini.

Acara yang membabitkan jarak sejauh 5 kilometer itu dimeriahkan dengan pelbagai gelagat yang dibekalkan dengan pistol air diisi serbuk bewarna-warni sepanjang larian berlangsung.

Selain pelajar-pelajar tempatan dan antarabangsa UniMAP, acara tersebut turut disertai oleh kakitangan UniMAP beserta ahli keluarga masing-masing.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, penganjuran acara tersebut merupakan satu inisiatif  membudayakan gaya hidup sihat oleh IEEE SB UniMAP.

Ujar beliau, program tersebut diharap dapat melahirkan pelajar yang mempunyai pencapaian seimbang dari aspek akademik dan fizikal seterusnya mempunyai daya saing yang tinggi.

Namun, ujar beliau, apa yang lebih penting dan bermanfaat yang perlu diperhalusi oleh para pelajar dan peserta ialah pentingnya menyertai mana-mana badan profesional akademik untuk manfaat pelajar selepas bergraduasi kelak.

“Tidak salah untuk kita berseronok dan bergembira dalam acara seperti ini, namun apa yang lebih utama ialah melihat kepada struktur pertubuhan badan profesional seperti IEEE SB UniMAP yang akan bertindang sebagai rangkaian atau ‘networking’ pelajar dengan dunia luar.

“Seharusnya rangkaian yang seperti inilah yang akan membantu melancarkan urusan rasmi dan kerja harian selaras dengan matlamat penubuhan IEEE SB UniMAP untuk membantu memberi capaian elektronik kepada pelajar bagi pelbagai jenis sumber rujukan, kemudahan diskaun atau potongan terhadap yuran penyertaan persidangan yang dianjurkan di bawah naungan persatuan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah IEEE UniMAP SB Colour Run di Perkarangan Dewan Kecemerlangan UniMAP, Kampus Pauh Putra di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Foad Sakdan dan Kaunselor serta Penasihat IEEE SB UniMAP, Prof. Madya Dr. Azremi Abdullah Al-Hadi.