- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Raja Muda Perlis Berkenan Bersama Rakyat Dalam Kenduri Di Kampung
PADANG BESAR - 20 November 2016, Kenduri Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama rakyat di Kampung Kok Mak/Mawa di sini memberi peluang penduduk kampung mengenali dan memahami peranan Raja serta institusi Diraja dengan lebih jelas.
Pada program julung kali diadakan itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan meluangkan masa bermesra dengan lebih 500 orang penduduk kampung itu dan menikmati santapan tengah hari bersama-sama.
Dalam titahnya, baginda mengatakan adab Melayu harus dipraktikkan dan diwarisi oleh generasi akan datang supaya identiti orang Melayu tidak terhakis dalam peredaran masa.
Program anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kok Mak/Mawa itu diadakan bersempena penutupan projek Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) UniMAP - Kajian Sempadan: Memahami Sosiobudaya Masyarakat.
Berangkat sama pada program itu ialah Raja Puan Muda Perlis merangkap Tuanku Pro Canselor UniMAP Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP bertitah orang Melayu juga tersohor dengan adab dan adat seperti adat mengadap Raja atau Sultan yang wajar dipatuhi sebagai tanda menghormati dan taat setia kepada pemimpin.
"Adab-adab lain seperti berjiran, gotong-royong di masjid, ziarah orang meninggal dunia dan melayan tetamu yang dituntut oleh Islam menjadikan orang Melayu bangsa yang mulia dan berhemah," titah baginda.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata lebih 700 penduduk Kampung Kok Mak/Mawa bertutur dalam bahasa Siam dalam kehidupan seharian, menjadikannya unik untuk dipilih oleh PKIRM bagi menjalani kajian itu.
Beliau berkata kajian sempadan itu merintis hubungan antara UniMAP dan penduduk kampung untuk mendapat kemudahan dan kepakaran UniMAP dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Perlis negeri bandar raya pada tahun 2030.
“Telah banyak program kita laksanakan untuk merapatkan hubungan antara masyarakat Perlis dan UniMAP, seperti di program kenduri kali ini kita telah bersama-sama bergotong-royong menyediakan hidangan dan bermain permainan tradisonal masyarakat Perlis.
“Saya percaya program-program seperti ini akan dapat mengeratkan hubungan yang sedia terjalin,”katanya.
Antara hidangan yang disediakan secara gotong royong adalah gulai daging bersama rebung, sayur pucuk manis dan betik muda serta ulam-ulaman.
Manakala aktiviti tradisional dan permainan yang dijalankan adalah batu seremban, congkak, pertandingan mewarna dan lain-lain lagi.
(BERNAMA)