A+ A A-

UniMAP Raih 14 Pingat Dan 2 Anugerah Khas Di SIIF 2016 Korea

Kangar, 4 Disember – Penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangkul 14 pingat  dan 2 anugerah khas pada Pameran Reka Cipta Antarabangsa Seoul (SIIF) 2016 yang berlangsung di COEX, Seoul, Korea Selatan.

Pada pameran tersebut yang berlangsung selama empat hari mulai 1 Disember itu, penyelidik UniMAP membawa pulang 4 pingat emas, 4 pingat perak dan 6 pingat gangsa daripada lebih 639 produk yang mengambil bahagian daripada lebih 31 buah negara.

Rekaan produk UniMAP, Hybrid Wireless-Fiber Utilizing Flexible Cross Correlation (FCC) Code for Future Network Accessibility hasil rekaan Dr. Mohd Rashidi Che Beson, Prof. Dr. Syed Alwee Aljunid Syed Junid dan Prof. Madya Ir. Dr. Anuar Mat Safar menyumbang pingat emas pada pameran tersebut.

Tiga lagi produk yang menyumbang pingat emas ialah Saw Based Sensor For E-Coli Detection hasil penyelidikan Prof. Dr. Uda Hashim dan Dr. Mohammad Nuzaihan Md Nor; Photovoltaic Powered Uninterrupted Power Supply (UPS)  rekaan Prof. Madya Dr. Muzamir Isa dan Uni-Fez®:A Novel Fetilizer From Agricultural Waste yang merupakan hasil penyelidikan Dr. S. Ragunathan.

Disamping itu, dua lagi produk penyelidikan hasil rekaan Dr. Midhat Nabil Ahmad Salmi dan Dr. S. Ragunathan menerima anugerah khas daripada National Research Council of Thailand dan Institute of Applied Computer Science, Poland.

Dr. Mohd Rashidi berkata, produk Hybrid Wireless-Fiber FCC OCDMA yang dibangunkan oleh beliau dan penyelidik bersama membolehkan akses internet berkelajuan tinggi dicapai oleh pengguna pada kos yang sangat rendah.

Ujar beliau lagi, Integrasi antara Wireless dan Fiber Optik ini berpotensi untuk meningkatkan rangkaian yang sangat dinamik merangkumi kelajuan tinggi yang mesra alam sekitar.

“Sistem produk ini menawarkan mobiliti yang luas serta menyediakan jalur lebar yang mantap untuk pelbagai aplikasi penting seperti Fiber-to-the-Home (FTTH) di kawasan luar bandar, kereta api berkelajuan tinggi, Internet of Things (IoT) serta untuk kegunaan industri minyak dan gas,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

SIIF merupakan pameran ciptaan terbesar di dunia bagi pencipta dan penyelidik mempamerkan idea-idea baharu dan produk mereka kepada pengeluar, pelabur, pengedar, syarikat pelesenan dan orang awam.

Ia dianjurkan oleh Pejabat Harta Intelek Korea (KIPO) dan disokong di peringkat antarabangsa oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan-Persatuan Pencipta (IFIA).