A+ A A-

Lima Program Kejuruteraan UniMAP Terima Akreditasi EAC

Kangar, 14 Disember 2016 - Lima Program Kejuruteraan Universiti Malaysia Perlis menerima Pengiktirafan Akreditasi untuk tiga tahun bermula 2016 hingga 2018 dari Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC).

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, berkata, lima program tersebut adalah Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mikroelektronik, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Rekabentuk Produk, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan  dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Polimer.

“Kita telah menerima Sijil Perakuan Akreditasi untuk lima  program Kejuruteraan UniMAP bagi sesi Lawatan Penilaian Akreditasi EAC pada Mac yang lalu.

“Hasil dari lawatan tersebut, Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) / Board of Engineers Malaysia (BEM) telah bersetuju untuk memberikan perakuan keputusan rasmi akreditasi bagi kelima-lima program Kejuruteraan di UniMAP,”katanya ketika ditemui selepas Program Perjumpaan Bersama Pengurusan Tertinggi UniMAP, di Kampus Kubang Gajah, di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamaruddin.

Ujar beliau lagi, pengiktirafan yang diperolehi UniMAP itu merupakan hasil kerja keras semua warga UniMAP yang sentiasa memberikan komitmen yang tinggi sepanjang lawatan tersebut berlangsung.