A+ A A-

30 Pelajar Cemerlang Terima Bantuan Pelajaran Yayasan Tunku Abdul Rahman

Kangar, 13 Disember 2016 –  Seramai 30 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpilih menerima Bantuan Pelajaran Yayasan Tunku Abdul Rahman (BPYTAR) selepas berjaya dalam sesi temuduga yang dikendalikan baru-baru ini.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, selain melalui proses temuduga, pemilihan pelajar-pelajar itu juga adalah dari kalangan pelajar yang dikenalpasti benar-benar dalam kategori kurang berkemampuan.

“Selain daripada itu, kita juga turut menilai prestasi akademik pelajar serta memiliki semangat juang yang tinggi untuk berjaya berdasarkan ‘pointer’ cemerlang yang mereka perolehi setiap semester.

“Setiap pelajar yang terpilih ini menerima sumbangan sebanyak RM3,000 setiap seorang dan saya amat berharap pelajar-pelajar yang telah terpilih ini dapat memanfaatkan sumbangan ini sebaik-baiknya,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Zakat  BPYTAR di Dewan Keikhlasan, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan dan Dekan HEPA Prof Madya Razli Ahmad.

Menurut Zul Azhar, pihak UniMAP berbesar hati di atas sumbangan dan peruntukan yang disediakan oleh pihak Yayasan Tunku Abdul Rahman dengan jumlah keseluruhan peruntukan ialah RM90,000.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak yayasan di atas keprihatinan menyalurkan zakat ini untuk membantu pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban mereka.

“Malah, Pihak UniMAP juga turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000 setiap seorang kepada tiga pelajar yang rumah keluarga mereka musnah dijilat api beberapa bulan yang lalu,” kata beliau.