- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Pelajar UniMAP Johan Hafazan Al-Quran
Kangar , 19 Januari – Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dinobatkan sebagai johan di Perasmian Penutup Majlis Menghafaz Al-Quran peringkat negeri Perlis, hari ini.
Nur Syuhada Tasnim Kayati, 21, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik meraih kemenangan itu bagi kategori 20 juzuk dan bakal mewakili negeri ke peringkat kebangsaan di Melaka pada Mac depan.
Nur Syuhada yang juga diberi gelaran Srikandi Syuhada berkata, makluman pertandingan tersebut diketahui menerusi laman sosial Facebook seterusnya mengambil inisiatif menghubungi pihak Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menyertainya.
“Saya juga pernah menyaksikan pertandingan ini pada sesi lepas sekaligus mendorong saya untuk menyertainya pada tahun ini dengan pergi ke MAIPs bagi mendaftar pada 6 Januari lalu.
“Saya tidak menyangka berjaya meraih johan bagi kategori 20 juzuk memandangkan perlu bersaing dengan ramai peserta yang hebat-hebat di pertandingan tersebut,” katanya ketika dihubungi selepas kejayaan berkenaan.
Nur Syuhada yang berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan itu bercita-cita menjadi seorang pensyarah dan mula menghafaz Al-Quran sejak tingkatan satu sehingga tamat pada bulan November ketika masih di tingkatan empat.
Anak keempat dari enam beradik itu berkata, dia sudah bersedia bagi pertandingan peringkat kebangsaan walaupun masih di tahap sederhana dan akan melakukan yang terbaik kerana berpeluang mengulang hafazan sepanjang cuti semester.
Katanya, sebelum ini dia terikat dengan jadual harian yang sangat padat sebagai pelajar jadi pengurusan masa bagi mengulang hafazan adalah berorientasikan waktu solat dengan sedaya upaya memanfaatkan setiap waktu solatnya.
“Adakalanya saya banyak memanfaatkan waktu selepas solat Subuh untuk mengulang hafazan saya kerana waktu berkenaan adalah lebih berkat seperti yang disarankan oleh guru-guru saya sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam UniMAP, Nasrul Che Ali berkata Nur Syuhada menerima sijil penyertaan, sepasang kain dan wang tunai RM3,000 di atas kejayaan buat julung kalinya bagi UniMAP itu.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh, di sini.