A+ A A-

Dua Penyelidik CEGeoGTech UniMAP Dilantik Penasihat Penyelidikan Di FMIPA 

Kangar, 25 Januari - Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus menerima pengiktirafan pihak luar apabila dua pensyarahnya dilantik sebagai penasihat penyelidikan Fakultas Matematik dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA) di Universitas Negeri Makasar (UNM), Indonesia.

Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh dilantik atas kesarjanaan masing dalam penyelidikan dan penerbitan jurnal terutama dalam bidang geopolimer dan teknologi hijau.

Pelantikan untuk tempoh dua tahun itu, secara tidak langsung akan menyerlahkan lagi keterlihatan UniMAP di peringkat antarabangsa sekaligus meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia amnya.

Menurut Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri, FMIPA merupakan fakulti yang terbesar di UNM dengan mempunyai enam jabatan antaranya Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.

“Pelantikan ini juga merupakan dibuat selepas FMIPA dan UNM kini dalam  perancangan membudayakan dan memperkasakan penyelidikan dan penerbitan dikalangan pensyarah-pensyarahnya agar lebih menyerlah di peringkat antarabangsa,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pelantikan kedua-dua pensyarah tersebut di buat dalam satu majlis ringkas bersempena sesi Kuliah Tamu CEGeoGTech UniMAP anjuran FMIPA khusus untuk lembaga penyelidikan UNM dengan dihadiri oleh Timbalan Rektor Prof. Dr. Gufran Darma Dirawan, M.Ed. (Bidang Pengembangan dan Kerjasama).

Dr. Mohd Mustafa menyampaikan kuliah bertajuk, Analisa Pencapaian Penyelidikan dan Penerbitan UNM & Strategi Membudayakan Penyelidikan UNM manakala Dr. Mohd Arif menyampaikan kuliah berkaitan Strategi Penerbitan Berimpak.

Dalam masa yang sama, Dr. Mohd Mustafa Al-Bakri berkata, beliau bersama dua lagi penyelidik CEGeoGTech, Dr. Rafiza Abdul Razak dan Dr. Zarina Yahya turut menyampaikan kuliah tamu Teknologi Hijau dan Geopolimer kepada 60 orang mahasiswa yang menjalankan kajian penyelidikan dalam bidang geopolimer.

Ujar beliau, inisiatif perkongsian ilmu ini turut bertujuan untuk meningkatkan penyelidikan dalam bidang  geopolimer dan teknologi hijau yang mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara.

CEGeoGTech UniMAP sememangnya telah dikenali dalam aspek penyelidikan dan penerbitan teknologi ini dimana UniMAP kini menghuni tangga pertama dalam bidang geopolimer berdasarkan pengkalan data Scopus bagi tempoh 5 tahun terakhir ini. 

“Hasil lawatan kali ini juga, CEGeoGTech UniMAP telah bersetuju untuk menerima beberapa orang pelajar FMIPA bagi menjalankan penyelidikan geopolimer di UniMAP bagi tempoh satu hingga tiga bulan, ujarnya lagi.

Beliau menambah, jalinan kerjasama ini juga diharap dapat meningkatkan mobiliti kedua-dua universiti dan pada masa sama kedua-dua institusi juga bersetuju untuk menghasilkan penerbutan secara bersama.