A+ A A-

UniMAP Gerak Misi Ops Banjir Pantai Timur Fasa 1 Ke Kelantan

Kangar , 26 Januari  –Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggerakkan misi Ops Banjir Pantai Timur Fasa 1 bagi tahun ini ke Kelantan dalam usaha membantu proses pembersihan kawasan banjir di beberapa kawasan yang terjejas.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan berkata seramai 35 sukarelawan yang terdiri daripada 20 lelaki dan 15 perempuan terlibat bagi melaksanakan misi berkenaan.

Menurutnya, mereka ditempatkan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian dan bakal menumpukan usaha pembersihan di tiga lokasi pemindahan banjir sementara bermula 24 hingga 27 Januari ini.

“Antara lokasi berkenaan ialah Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jajahan Pasir Puteh, pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Canggai dan di SK Wakaf Raja.

“Pengisian aktiviti misi kali ini adalah membersihkan dan mencuci pejabat JKM Pasir Puteh termasuk dua pusat pemindahan ini selain menganjurkan aktiviti bersama kanak-kanak mangsa banjir seperti mewarna, tarian  serta gotong-royong memasak bersama Anggota Perkhidmatan Awam (APM) serta JKM,” kata beliau ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Foad berkata UniMAP turut mendapat kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor HEPA UniMAP, Jabatan HEPA UniMAP, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2016/17 serta Kelab Sukarelawan UniMAP selain kerjasama HEPA USM, JKM Pasir Puteh dan APM Kelantan.

Katanya, selain bantuan membersihkan kawasan yang terjejas itu UniMAP juga mengadakan sesi perkongsian, motivasi serta interaksi bersama mangsa-mangsa banjir dalam usaha mengurangkan tekanan kepada mereka.

UniMAP turut menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan kepada JKM dan APM bagi memberi sokongan serta melancarkan usaha agensi terbabit dalam membantu mangsa banjir,” katanya.

Untuk rekod, pada Januari tahun lalu UniMAP menggerakkan misi bantuan pasca banjir dengan membabitkan 2000 sukarelawan pelajar dan kakitangan UniMAP sendiri melibatkan tujuh fasa bagi membantu mangsa banjir di Kelantan.

Sukarelawan UniMAP bergambar kenangan sejurus tiba di pejabat JKM Pasir Puteh, Kelantan.

Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan memberi taklimat kepada sukarelawan UniMAP sebelum upacara pelepasan ke Kelantan bagi Misi Ops Banjir Pantai Timur Fasa 1.

Sukarelawan UniMAP melakukan aktiviti mewarna bersama anak-anak mangsa banjir di pusat pemindahan sementara SK Canggai.