- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Raih Kejayaan 100 Peratus Di MTE 2017
Kuala Lumpur, 18 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya meraih kejayaan 100 peratus pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2017 yang berlangsung pada 16 hingga 18 Februari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.
Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) UniMAP, Prof. Dr. Syed Alwee Al Junid Syed Junid berkata, menerusi pertandingan tersebut, delegasi UniMAP berjaya memenangi tiga pingat emas, tujuh pingat perak dan sembilan pingat gangsa.
Selain itu, UniMAP turut berjaya meraih satu Anugerah Merit menerusi Prof. Madya. Dr. Zainab Hamzah.
“Adalah sesuatu yang membanggakan apabila ketiga-tiga produk yang meraih pingat emas turut mendapat Anugerah Penyelidik Terbaik dan Anugerah Khas Antarabangsa.
“Anugerah Penyelidik Terbaik dianugerahkan kepada penyelidikan Robust Green Composite Solder Paste hasil inovasi Dr. Norainiza Saud serta produk Energy Management System Controller hasil penyelidikan Ir. Dr. Rosnazri Ali, ” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah MTE 2017, di sini semalam.
Sementara itu satu lagi produk penyelidikan UniMAP iaitu Portable Room Temperature Gas Sensor Utilizing r-Go hasil inovasi Dr. Muhammad Mahyiddin Ramli memperoleh Anugerah Khas dari Croatia.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Presiden, Persatuan Saintis Penyelidikan Malaysia (MARS), Dr. Wan Manshol Wan Zin.
Dr. Syed Alwee berkata, penyertaan UniMAP pada MTE 2017 lebih menumpukan kepada produk-produk yang dihasilkan penyelidik-penyelidik muda.
“Saya percaya dengan pendedahan yang diberikan ini akan dapat memupuk minat yang lebih mendalam terhadap bidang penyelidikan sekaligus akan dapat menghasilkan lebih banyak teknologi baharu selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020,” katanya lagi. Sementara itu, pada majlis yang sama, Prof. Dr. Syed Alwee Al Junid Syed Junid, dianugerahkan Anugerah Penyelidik Paling Menonjol (Outstanding Inventor Award) pada Malaysia Technology Expo(MTE) 2017.
Anugerah itu diberikan atas pencapaian beliau yang telah meraih pelbagai anugerah terbaik sepanjang menyertai MTE serta bagi menghargai sumbangan beliau yang sentiasa aktif membantu penyelidik untuk menyertai pertandingan penyelidikan seperti MTE.
MTE 2017 merupakan ekspo penyelidikan tahunan anjuran MARS.
Ia mempertandingkan lebih 300 produk dari dari kolej, politeknik, universiti dan sekolah dari dalam dan luar negara.