A+ A A-

Kerjasama UniMAP- Modenas Lahir Jurutera Berkualiti

Gurun, 23 Februari 2016 - Pendekatan pembelajaran dan latihan amali menggunakan sistem berteknologi terkini seiiring dengan industri telah menjadikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) antara universiti awam yang berjaya melahirkan jurutera yang berkualiti kepada industri luar.

Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, salah satunya ialah kerjasama antara UniMAP- Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) yang berjaya menyemarakkan penyelidikan kejuteraan bidang automotif dan motorsport di kalangan pensyarah dan pelajar UniMAP.

“Pihak Modenas telah memberikan peralatan seperti sistem enjin dan motorsikal untuk digunakan oleh Unit Penyelidik dan Sukan Permotoran (MoTECH) UniMAP yang mana melalui kolabrasi ini, ianya telah memberi peluang kepada UniMAP untuk menganjurkan pelbagai aktiviti untuk masyarakat luar.

“Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah Program Modenas-UniMAP Racing School dan Grandpix Pilot Selection di litar UniMAP. Malah, pihak Modenas juga telah menggunakan litar UniMAP untuk menguji kualiti motorsikal terbaharunya,” ujarnya selepas mengadakan sesi pertemuan dan kunjungan hormat ke Modenas di sini semalam.

Selain Dr. Zul Azhar, lawatan kerja tersebut turut disertai oleh Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, Prof. Madya Dr. Khairel Rafizi, Pengarah Technopreneur Sdn Bhd (TUSB), Dr Zunaidi Ibrahim, Pengarah MoTECH UniMAP, Dr Shariman Abu Bakar, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik, Prof. Madya Dr. Abu Hassan Abdullah dan  dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan, Prof. Madya Dr. Khairul Azwan Ismail.

Selain mengeratkan hubungan antara universiti dan industri, lawatan tersebut juga bertujuan untuk memberi pendedahan dan melihat fasiliti serta keupayaan Modenas dalam menghasilkan sendiri enjin motosikal nasional buatan anak-anak Malaysia.

Kunjungan tersebut juga membolehkan pengurusan UniMAP bertemu dengan alumni UniMAP yang telah berkhidmat di Modenas.

Menurut Dr. Zul Azhar, satu Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani dalam masa terdekat untuk menubuhkan UniMAP Automotive and Motorsport Center of Excellence dimana ianya menjadikan UniMAP sebagai pusat sehenti untuk Pusat Penyelidikan dan Jualan serta Pusat Technoprenaur kepada staf, pelajar dan graduan universiti.

UniMAP dan Modenas telah bekerjasama semenjak tahun 2012 yang mana ia memberi fokus kepada akademik bagi membolehkan pelajar UniMAP mendalami secara mahir bidang automotif di samping mencetuskan teknologi lebih maju selain meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Selepas lebih empat tahun bekerjasama, UniMAP dan Modenas melihat peluang yang lebih besar untuk mengukuhkan lagi kerjasama melalui kewujudan pusat kecemerlangan ini dan kita akan memastikan kerjasama atau penyelidikan yang dijalankan menambah kualiti pelajar dan relevan dengan keperluan semasa serta membantu perkembangan MoTECH.,” ujarnya lagi.