A+ A A-

UniMAP Perkukuh Hubungan Dengan Universiti Of Sindh Pakistan

PULAU PINANG, 27 Februari 2016 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengorak langkah memperkasakan bidang pendidikan tinggi Malaysia di persada antarabangsa melalui kerjasama strategik bidang akademik University of Sindh (SU), Pakistan.

Kerjasama tersebut merangkumi pertukaran ahli akademik serta kerjasama dalam bidang penyelidikan dan penerbitan jurnal terutama bagi bidang sains sosial dan kemanusiaan yang merupakan bidang tujahan utama SU, ujar Naib Canselornya, Prof. Dr. Fateh Muhammad Burfat.

Menurut beliau, bidang penyelidikan merupakan antara elemen penting yang akan menaikkan imej universiti terutama dalam menangani dan memahami cabaran global masa kini.

UniMAP mempunyai kekuatan dalam bidang kejuruteraan manakala SU mempunyai kepakaran dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial, justeru apabila kedua-dua bidang ini digabungjalinkan ia pasti akan dapat menyelesaikan banyak permasalahan global dan ekonomi.

“Berdasarkan perspektif  kerja, jurutera adalah berkaitan dengan menghasilkan aplikasi komersil dan menyediakan keperluan teknologi yang diterima masyarakat manakala bidang kemanusiaan dan sains sosial itu adalah bidang teras dan insaniah yang perlu ada dalam diri seseorang jurutera.

“Selain itu hasil ciptaan jurutera juga adalah untuk manfaat dan kegunaan manusia secara keseluruhannya,” ujar beliau ketika berucap di Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa ke-4 Peranan Kemanusiaan dan Sains Sosial dalam Kejuruteraan 2017 (ICoHSE4) yang diadakan di Hotel Park Royal, di sini semalam.

Persidangan yang disertai oleh lebih 150 peserta dari dalam dan luar negara itu dianjurkan secara bersama oleh Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) UniMAP, SU dan ENSICAEN School of Engineering Caen, Perancis.

Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamarudin hadir merasmikan persidangan tersebut. Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Seri Mohd. Salleh Yaapar.

Dr. Burfat berkata beliau gembira apabila dijemput sebagai penganjur bersama persidangan bertaraf antarabangsa di Malaysia dan melihat pemilihan tersebut sebagai peluang untuk menggalakkan program pertukaran pelajar dan pengajar antara kedua-dua universiti.

SU sebelum ini telah menjemput dan melantik dua profesor dari UniMAP sebagai Profesor Kunjungan bagi membantu pembangunan akademik, penyelidikan dan kualiti pensyarah di universiti berkenaan untuk tempoh dua minggu pada awal Februari lalu.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, pelantikan tersebut secara tidak langsung membuktikan bahawa kepakaran ahli akademia UniMAP semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila mampu menjadi pakar rujuk bagi universiti luar negara.

Ujar beliau, kedua-dua Profesor yang dilantik iaitu, Timbalan Pengerusi Majlis Prof UniMAP, Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd Zain, dan Dekan IKOM, Prof. Madya  Dr. Huzili bertanggungjawab memberikan khidmat nasihat untuk program-program akademik di universiti terbabit selain berkongsi kepakaran dalam bidang pengurusan akademik, sistem pendidikan tinggi, penyelidikan dan penulisan tesis.

UniMAP akan terus menggalakkan staf dan pelajar untuk mengembangkan portfolio akademia masing-masing melalui program mobiliti antarabangsa meskipun berdepan dengan kekangan kewangan.

“Pendekatan dan kaedah baharu akan dirangka bagi memastikan kelangsungan program mobiliti yang merupakan platform terbaik untuk mengembangkan rangkaian perhubungan dengan universiti lain di luar negara,” ujarnya lagi.