A+ A A-

Kem ELITE 2.0 2017 Atasi Masalah Keciciran Anak Yatim

Pauh Putra, 5 Mac   – Bagi mengatasi masalah keciciran dalam pendidikan di kalangan anak-anak yatim, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaya (UM) melaksanakan usahasama strategik menerusi penganjuran Kem ELITE 2.0 2017 (Excellence in Leadership, Intellectual, and Talent Empowerment) di sini bermula 2 Mac lalu.

Kem ELITE 2.0 anjuran Persatuan Ahli Kelab & Alumni Pusat Pengajian Kejuruteraan (PerkaSE) dan Kolej Kediamaan Tuanku Bahiyah UM berkenaan dikawal selia sepenuhnya oleh badan bukan kerajaan (NGO) peringkat kebangsaan, Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Malaysia (YATIM).

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik UniMAP, Dr Muhamad Mokhzaini Azizan berkata kem itu mensasarkan pembangunan sahsiah dan rohani di kalangan anak-anak jati tempatan yang berstatus anak yatim dan yatim piatu peringkat menengah rendah.

“Secara dasarnya, anak-anak ini seringkali merasa rendah diri, kekurangan keyakinan dan akibatnya sering ketinggalan dalam pelajaran, justeru melalui Kem ELITE, diharapkan agar unsur-unsur negatif yang membelenggu mereka dapat dipisahkan,

Kem ini dikendalikan sepenuhnya oleh 70 mahasiswa UniMAP dan UM yang sebelum ini menjalani latihan Train of Trainers anjuran YATIM sejak 2015,” katanya.

Majlis penutup Kem ELITE 2.0 2017 disempurnakan oleh Pendaftar UniMAP, Encik Zuber Mohamad.

Selain membina pembangunan sahsiah di kalangan anak yatim itu, kem itu turut diadakan bagi memupuk semangat sukarelawan, pembangunan modal insan dan dapat melahirkan generasi muda negara yang berkaliber dalam pelbagai bidang.

Selain di UniMAP, Kem ELITE pernah dijalankan secara meluas di Pahang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sejak mula dianjurkan pada 2015.