- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP – MODENAS Jalin MOU
PAUH PUTRA, 15 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) amat komited dalam membantu memastikan kejayaan Dasar Automotif Nasional (NAP) yang bertujuan untuk menjana nilai ekonomi yang berterusan kepada negara.
Atas usaha itu, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangi antara UniMAP dan Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd (MODENAS) dalam usaha menjadikan sasaran itu menjadi kenyataan.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, UniMAP, melalui Unit Teknologi Sukan Permotoran (MOTECH) yang mempunyai kepakaran dan kemudahan yang bertaraf antarabangsa dalam bidang penyelidikan permotoran akan memberikan komitmen tinggi dalam membantu industri automotif negara.
“Ini kerana tujuan asal penubuhan MOTECH adalah bagi memartabatkan penyelidikan dalam bidang permotoran dan automatif melalui pembangunan idea inovasi dengan kolaborasi industri ke arah teknologi kenderaan cekap tenaga (Energy Efficient Vehicle) serta melahirkan graduan automotif yang kebolehpasarannya tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara UniMAP-Pusat Penyelidikan MODENAS dan Upacara Penyerahan Proton Suprima S di Litar UniMAP, di sini, semalam.
Majlis tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia; Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP; Datuk Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainai Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Amiruddin Abdul Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd. Abdul Rashid Musa.
Menurut Dr. Zul Azhar, kerjasama itu juga merupakan salah satu sumbangan UniMAP kepada industri automotif seterusnya diharap dapat membantu menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau dalam Tenaga Kenderaan Cekap (EEV).
“UniMAP dan MODENAS telah empat tahun menjalinkan kerjasama dan saya berharap kerjasama terbaharu ini akan dapat menggerakkan inisiatif pemindahan asas teknologi antara kedua-dua pihak seterusnya dapat membantu peningkatan penjenamaan dan reputasi bagi MODENAS dan UniMAP.
“Justeru, secara peribadi, saya sendiri merasakan selepas lebih empat tahun bekerjasama, ada peluang yang lebih besar untuk mengukuhkan lagi kerjasama ini seterusnya dapat menambah kualiti pelajar serta relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Pada majlis itu juga, UniMAP turut menerima Proton Suprima S sumbangan daripada Proton untuk kegunaan Kelab Automotif dan Sukan Bermotor UniMAP.
Sumbangan tersebut yang merupakan tanggungjawab sosial kedua-dua pihak bertujuan untuk medidik para pelajar dan warga UniMAP serta orang ramai dalam mempelajari asas dan teknik pemanduan secara berhemah.