A+ A A-

Youngpreneur Go! SSM 2017 Galakkan Mahasiswa Jadi Usahawan Muda

Pauh Putra, 22 Februari 2017 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menganjurkan Program Youngpreneurs Go! (YPGo) SSM 2017 di Dewan Kecemerlangan UniMAP, Kampus Pauh Putra pada 24 dan 25 Februari ini.

Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UniMAP, Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin berkata penganjuran program YPGo SSM 2017 diadakan di UniMAP selepas menerima kunjungan Pengerusi SSM, Dato’ Sri Jamil Salleh yang juga  Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Penganjuran ini adalah hasil lanjutan program wacana sosial Dato’ Sri Jamil yang pertama di UniMAP dan sebelum itu beliau dilantik sebagai CEO@Faculty bagi UniMAP pada Mei tahun lalu.

“Program YPGo SSM 2017 ini bertujuan memberi pendedahan sekaligus menggalakkan mahasiswa menceburi bidang keusahawanan sekalipun mereka mengikuti pengajian dalam bidang lain,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Program dua hari berkenaan bakal dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor UniMAP.

Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong dan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dijadualkan turut hadir ke majlis perasmian yang diadakan pada 27 Februari ini.

Dr Rezuwan berkata, antara pengisian program YPGo SSM 2017 ini adalah dengan memberi peluang kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi sekitar Perlis menjalankan perniagaan sepanjang program itu berlangsung.

“Sebanyak 41 gerai jualan dibuka khas untuk pelajar berniaga serta lima buah ‘food truck’ turut mengambil bahagian sekaligus memberi pendedahan kepada pelajar dengan aktiviti perniagaan yang pelbagai.

“Selain itu, antara program menarik yang akan berlangsung adalah taklimat bersama Ikon Usahawan selebriti tanah air seperti Elfira Loy dan Fizo Omar, seminar keusahawan, taklimat daripada agensi-agensi berkaitan keusahawanan serta aktiviti riadah seperti Treasure Hunt,” kata beliau.

Selain memberi pendedahan mengenai keusahawanan, antara objektif program YPGo SSM 2017 itu adalah bagi mempromosikan pendaftaran perniagaan kepada pelajar IPT secara percuma.

Terdahulu, kerajaan telah memperuntukkan geran khas sebanyak RM10 juta yang disalurkan melalui SSM dalam tempoh 10 tahun untuk tujuan berkenaan.