A+ A A-

CEGeoGTech Cemerlang Sepanjang Enam Tahun Penubuhan

Kangar , 11 Mac  – Penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer & Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan berjaya menyumbang hampir 18.3 peratus daripada hasil penerbitan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sepanjang 2016 berdasarkan data SCOPUS terbaru.

Pengerusi CEGeoGTech, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata penyelidik pusat itu juga berjaya menembusi jurnal-jurnal berimpak dan juga menyumbang  penerbitan yang tinggi dalam pangkalan data Web Of Science yang dikira berdasarkan afiliasi CEGeoGTech.

Katanya, sepanjang enam tahun penubuhan, CEGeoGTech berjaya menempa pelbagai kejayaan yang cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk meraih lebih daripada 200 anugerah.

“Antara pencapaian lain adalah berjaya menghasilkan 45 paten dan 30 buah buku sepanjang 2011 hingga 2016 serta memperoleh geran penyelidikan dalam dan luar negara termasuk daripada European Commission berjumlah RM2.5 juta serta RM170 ribu daripada Nihon Superior Jepun,” kata beliau ketika berucap di Majlis Kecemerlangan CEGeoGTech, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan, Dekan PPK Bahan Prof Madya Dr Khairel Rafezi Ahmad dan Pengurus CEGeoGTech Prof Madya Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.

Menurut Dr. Kamarudin, tahun 2017 merupakan tahun yang akan menentukan kemampuan pembangunan penyelidikan dan inovasi lebih unggul justeru petunjuk prestasi utama (KPI) menetapkan bermula tahun ini seorang penyelidik CEGeoGTech harus menghasilkan dua jurnal di indeks sebagai penulis utama.

“Ia adalah berdasarkan keperluan semasa Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) yang secara tidak langsung membantu UniMAP mencapai KPI yang disasarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Kapasiti dan kemampuan inovasi adalah sangat diperlukan bagi meningkatkan pembangunan ekonomi sekaligus akan mengukuhkan keupayaan negara bersaing dalam pasaran dan perdagangan global,” kata beliau.

CEGeoGTech yang ditubuhkan pada 2010 dengan nama Green Concrete@UniMAP sebelum dinaiktaraf pada Julai 2011 menganjurkan Majlis Kecemerlangan pusat berkenaan bagi meraikan penghargaan individu, organisasi dan agensi yang membantu menaikkan nama CEGeoGTech dan UniMAP secara langsung sepanjang enam tahun penubuhannya.

Di majlis berkenaan turut disampaikan watikah perlantikan Ketua Kumpulan Penyelidik , Penyelidik Utama dan Penyelidik Bersekutu CEGeoGTech selain penyampaian Anugerah Penghargaan Patron CEGeoGTech kepada Prof Madya Dr Che Mohd Ruzaidi Ghazali yang kini Timbalan Naib Canselor (HEPA) Universiti Malaysia Terengganu.