- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Penjenamaan Semula LOGO UniMAP 2017
Kangar, 17 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melancarkan logo tambahan UniMAP dengan nama Universiti Malaysia Perlis di sebelah logo asal pada Majlis Anugerah Seri Gemilang UniMAP 2016 di Hotel Putra Regency di sini, semalam.
Pelancaran tersebut dibuat bersempena genapnya usia 10 tahun selepas dijenamakan semula dari Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM), 1 Februari 2007 yang lalu.
Menurut Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, pelancaran logo baharu ini juga adalah selaras dengan penggunaan dan fungsinya yang semakin meluas.
“UniMAP pada tahun ini telah mencecah usia 10 tahun jika diambil dari tarikh penjenamaannya, justeru logo tambahan ini akan lebih menyerlahkan imej korporat UniMAP samada di peringkat nasional mahupun antarabangsa
“Selain itu, pelancaran logo baharu ini juga diharap dapat mengurangkan kekeliruan masyarakat yang mengaitkan UniMAP dengan universiti awam lainnya,” ujar beliau.
Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan pelancaran logo tersebut. Berkenan berangkat hadir, Raja Puan Muda Perlis yang juga Pro Canselor UniMAP, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis, Dato’ Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainai Haji Mohamed dan mantan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Emeritus Dr, Kamarudin Hussin.
Sementara itu, kapsul masa UniMAP berusia 10 tahun yang menyimpan nota harapan turut dibuka semula pada majlis ASG 2016 bagi melihat kembali harapan yang telah dilahirkan 10 tahun dahulu.
Antara harapan yang dicatatkan adalah dari Canselor UniMAP yang inginkan segala misi dan visi yang dihasratkan tercapai dengan jayanya.
Tidak ketinggalan Pro Canselor UniMAP juga turut meletakkan harapan agar tuah sentiasa menyebelahi UniMAP untuk maju kehadapan
Nota harapan Dr. Kamarudin pula antara lainnya mencatatkan doa agar UniMAP menjadi salah sebuah universiti yang tersohor di dunia.
Untuk rekod, lebih 2000 pelajar dan staf hadir bagi melahirkan harapan melalui nota catatan yang dimuatkan dalam kapsul masa di Kampus UniMAP Kubang Gajah pada tengah malam 1 Februari 2007.