A+ A A-

UniMAP – Ukraine Bakal Jalin Kerjasama Sistem UAV

Kangar, 27 Mac- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima kunjungan Skyeton Aircraft Industrial Company dari Ukraine bersama rakan kongsinya di Malaysi True Altitude Sdn. Bhd. yang kini sedang menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa (LIMA) 2017.

Kedua-dua syarikat tersebut yang berkecimpung dalam industri Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) berhasrat untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan Pusat Kecemerlangan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (COEUAS) yang diterajui oleh Prof. Dr. Hazry Desa.

Prof. Dr. Hazry Desa berkata, kunjungan tersebut diadakan adalah bagi melihat potensi dan peluang kerjasama yang boleh dijalinkan terutama dalam penyelidikan mengenai teknologi industri UAV.

UniMAP akan memanfaatkan peluang ini untuk mengembangkan lagi penyelidikan mengenai teknologi UAV dengan sokongan daripada pihak industri yang mampu merealisasikan hasil penyelidikan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain perbincangan, kedua-dua syarikat tersebut turut meninjau teknologi UAV yang dihasilkan oleh UniMAP. Skyeton diwakili oleh Pengerusinya, Oleksandr Stepura manakala True Altitude diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Datuk Hazizan Ahmad.

Menurut Dr. Hazry, dalam pertemuan tersebut UniMAP dan kedua-dua syarikat tersebut bersepakat untuk bekerjasama dalam aspek pemindahan teknologi UAV khususnya dalam bidang pemprosesan imej.

Selain itu, ujar beliau, pihaknya juga bersedia menghantar wakil UniMAP mengikuti latihan penerbangan dan pengendalian UAV terutama dalam aspek  pemasangan UAV Skyeton.

“Ianya penting memandangkan SAIC telah bersetuju melantik UniMAP sebagai wakil menjadi wakil Pusat Pembaikan Operasi dan Penyelenggaraan (MRO) apabila UAV mereka berada dalam pasaran tempatan dan Asia Tenggara serta negara-negara Islam di Asia nanti,” ujarnya lagi.