- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Orang Kuat UniMAP Raih Tempat Kelapan Pada World Strongest Team
Kangar, 27 Mac – Orang Kuat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan teratas pada Kejohanan World Strongest Team yang berlangsung di Esztergom, Hungary, baru-baru ini.
Muhammad Firdaus Jamen, 23, berkata, pemilihan peserta ke pertandingan itu dilakukan berdasarkan ranking satu dan dua atlet Orang Terkuat di dalam sesebuah negara.
“Antara rutin yang perlu dilakukan dalam kejohanan ini adalah 160 kilogram Atlas Stone, 450 kilogram Tyre Flip, 555 kilogram Tyre Flip
125 kilogram Farmers Walk, 325 kilogram Duckwalk, 500 kilogram Superyoke;30 kilogram Leg Press, 90 kilogram Box Press, 130 kilogram Log Press, 130 kilogram Axle Bar Press dan Power Stairs 240 kilogram, 270 kilogram, 300 kilogram.
“Pertandingan ini disertai oleh peserta dari 22 buah negara dan para peserta perlu membentuk pasukan yang dianggotai dua peserta dari negara yang berlainan,” katanya ketika dihubungi.
Ujar Firdaus lagi, hanya tiga peserta dari negara Asia yang terpilih untuk menyertai pertandingan ini iaitu Malaysia, Singapura dan Jepun namun, peserta dari Jepun terpaksa menarik diri di saat akhir.
“Saya amat teruja kerana dapat menimba pengalaman dari kejohanan ini dan lebih mencabar adalah kerana kebanyakan peserta kali ini mempunyai berat sehingga 300 kilogram dan ke atas sehinggakan peserta dari negara Asia kelihatan kerdil.
“Kejohanan ini merupakan pemanas badan bagi saya yang akan menyertai World Natural Strongestman 2017 yang akan berlangsung pada September nanti yang dijangkakan akan disertai 36 buah negara,” katanya lagi.
Untuk rekod, Muhammad Firdaus telah berjaya merangkul gelaran Juara Cabaran Orang Kuat Sabah Edisi Kelima 2017 (Sabah Strongest Man) yang berlangsung pada Februari lalu.