- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Amalan Komunikasi Penting Dalam Menjamin Kejayaan Organisasi
Pauh Putra, 7 April - Pendekatan komunikasi yang baik dalam sesebuah jabatan mampu memacu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk mencapai hasrat dalam usaha menjadi 500 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, berkata komunikasi dalaman yang baik akan memudahkan sesuatu maklumat atau hasrat sesebuah organisasi dilaksanakan mengikut piawaian universiti.
“Setiap ketua jabatan haruslah memainkan peranan penting untuk memastikan staf memahami tugas dan tanggungjawab yang diberikan dan mampu bekerja dalam sebuah pasukan.
“Sebarang perselisihan pendapat haruslah dibincang secara profesional supaya keputusan yang dibuat adalah yang terbaik dan setiap individu perlu menghormati keputusan tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Naib Canselor dengan Barisan Pengurusan Tertinggi di Peringkat Jabatan/PTj sesi 2017-2019.
Sempena majlis berkenaan turut diadakan bacaan ikrar barisan pengurusan tertinggi berkenaan yang diketuai Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan , Dr. Nik Noriman Zulkepli.
Dr Zul Azhar berkata, lantikan barisan pengurusan tertinggi kali ini telah melalui proses yang teliti yang menekankan dari segi pengetahuan, pengalaman dan hala tuju serta masa depan setiap organisasi dan jabatan
“Lantikan ini telah berkuatkuasa pada 1 Mac 2017 hingga 28 Febuari 2019, melibatkan 131 staf dengan pecahan peratusan diantara 51 peratus staf lelaki dan 49 peratus adalah staf perempuan,” katanya.
Selain itu, Dr Zul Azhar juga menekankan agar setiap individu yang dilantik supaya sentiasa mempunyai tenaga, integriti dan pengetahuan yang tinggi agar mampu menjadi contoh yang baik kepada staf dan mahasiswa.