A+ A A-

UniMAP Ungguli Pertandingan Nyanyian Anjuran Perlisfm Lima Tahun Berturut-Turut

Kangar, 1 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengekalkan kejuaraan lima tahun berturut-turut pada pertandingan nyanyian anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) PerlisFm.

Penyanyi UniMAP yang juga staf di Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR), Mohd Hafedz Halim yang mendendangkan lagu Mustika nyanyian asal M. Nasir berjaya menarik perhatian juri sekaligus meraih kejuaraan di pertandingan yang diadakan di Dewan 2020 itu, di sini.

Pengarah UKR, Mohd Izwan Izhar Haris berkata, kejayaan tersebut merupakan kejayaan kali kelima semenjak menyertainya mulai tahun 2013 iaitu di Pertandingan  Nyanyian Lagu 60-an dan Nyanyian Lagu 70-an Dalam Loghat Utara.

“Ia diikuti Pertandingan Nyanyian Lagu 60-an Dalam Loghat Utara pada 2014 yang dijuarai Syamsyuhaida Sabri. Selain Hafedz, seorang lagi staf UKR iaitu Norefendy Ghazali turut tersenarai sebagai finalis pertandingan pada tahun ini yang diadakan sempena Ulangtahun RTM ke-71 itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Hasil kemenangan, Hafedz berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000 dan piala.

Menurut Mohd Izwan, UKR sentiasa aktif menyertai pertandingan-pertandingan nyanyian samada di peringkat negeri mahupun kebangsaan bagi memberi pendedahan yang luas kepada kakitangannya.

“Selain pertandingan, kami juga kerap mengadakan persembahan di majlis-majlis dalaman dan luar UniMAP termasuk persembahan muzik dan tarian,” katanya.