A+ A A-

Kerjasama PDRM – UniMAP Penting

Arau, 28 April – Kerjasama antara Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) adalah penting bagi memastikan sinergi antara institusi akademik, agensi keselamatan dan masyarakat terus kukuh.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, dalam konteks keselamatan warga UniMAP yang sehingga kini berjumlah lebih 13,000 orang sebahagian besarnya merupakan anggota masyarakat di negeri Perlis.

Jumlah itu, ujar beliau jika dicampur dengan pasangan atau ahli keluarga boleh mencecah melebihi 20,000 orang yang mewakili 20 peratus dari populasi penduduk di negeri Perlis.

Justeru, jelasnya, UniMAP melalui Pusat Ko-Kurikulum dan Jabatan Keselamatan, mengambil inisiatif menganjurkan sesi menembak membabitkan pengurusan tertinggi kedua-dua organisasi bagi mendekatkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak.

“Kita sememangnya telah mempunyai hubungan yang erat dengan pihak PDRM melalui penubuhan Kor Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS), namun platform pertemuan kali ini adalah berbeza bagi mendekatkan lagi ketua-ketua jabatan UniMAP dengan pihak pengurusan tertinggi PDRM.

“Ini bagi memudahkan sebarang proses sekiranya berlaku situasi yang tidak dingini membabitkan warga UniMAP atau ahli keluarga masing-masing,” ujarnya ketika berucap di majlis penyampaian hadiah Pertandingan Menembak Ketua Jabatan UniMAP di lapang sasar Kem Mata Ayer di sini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis, ACP Noor Mushar Hj. Mohd.

Seramai 40 Ketua Jabatan dan pengurusan tertinggi kedua-dua agensi menyertai pertandingan tersebut yang menyaksikan Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Prof. Dr. Zaliman Sauli memenangi tempat pertama kategori individu diikuti Pengarah Jabatan Keselamatan UniMAP yang juga mantan Ketua Polis Perlis Datuk Zul Aznam Haron di tempat kedua dan Pengetua Kolej Kediaman UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil menduduki tempat ketiga.

Menurut Dr. Zul Azhar lagi, selain itu, UniMAP juga membuka peluang kepada PDRM untuk menggunakan apa jua infrastruktur atau kemudahan termasuk kepakaran yang dimiliki oleh universiti sekiranya ia memberikan manfaat kepada masyarakat.

Terkini ujar beliau, UniMAP dan PDRM bekerjasama dalam memusnahkan sebutir bom yang dijumpai di kampus tetap UniMAP di Pauh Putra menggunakan kepakaran teknologi drone dan robotik.

UniMAP turut membuka peluang kepada anggota-anggota PDRM yang ingin menyambung pengajian dalam mana-mana bidang pengajian yang ditawarkan,” katanya lagi.